Sabtu, Oktober 29, 2016

SEGARKAN KENANGAN SEBAGAI SATU MOTIVASI DIRI.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.  
Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta keluarga baginda. Terlebih dahulu ingin saya lahirkan rasa rindu ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Memang terkenang segala pengalaman yang diperolehi semasa melakukan umrah pada tahun-tahun yang sudah. 

Bagaimana seronok mengeliling kaabah semasa tawaf dan melihat kaabah. Allahu Akbar. Hanya itu sahaja kalimah yang mampu dan dapat dilafazkan.

Betapa indah dan gembira bila kaki telah menjejaki Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Pengalaman itulah yang bisa menyuburkan motivasi diri ketika rasa kelelahan ingin menjengah dalam perjuangan ini. 

Rasa rindu ini mampu untuk tidak tewas dalam mengingati Allah dan sentiasa berdoa penuh harap agar diri menjadi hamba yang taat akan perintah-Nya. Hamba yang mampu menangkis godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa mengajak diri melakukan kejahatan. 

Selalunya begitulah, andai iman tidak kuat kita akan mudah mengalah dan mengikut sahaja kehendak nafsu yang melulu dan bisikan syaitan yang durjana. 

Sebab itulah Allah menyuruh kita selalu sabar dan melakukan solat. Sesungguhnya mereka yang benar-benar melakukan solat mampu menjadi kuat dan tidak mudah kalah atau tersasar jalan untuk dipengaruhi atau dibelenggu nafsu dan syaitan.

Sesungguhnya kesedaran begini, akan mengingatkan kita untuk mengikuti kuliah-kuliah agama. Orang yang Allah pilih untuk menjadi baik, akan diberi kefahaman dalam ilmu-ilmu agama. Apa lagi jika ilmu yang diperolehi itu dapat mendidik hati menjadi hamba Allah yang patuh pada perintah-Nya.

Tidak rugi untuk selalu merindu Rasulullah s.a.w, kerana dengan merindui dan mencintai Rasulullah s.a.w, ia mampu mendidik diri untuk menjadi hamba Allah yang baik dan sedar setiap diri sentiasa diberi peluang untuk mendapat taufik dan hidayah dari Allah SWT.

Moga kerinduan ini mampu mendidik diri. 

Salam kasih sayang, 
Zuhriah Mohamad Juoi