ZUHRIAH MOHAMAD JUOI
Anak keempat daripada 11 adik beradik ini dilahirkan pada 14 September 1964 di Kampung Sungai Rokam. Mendapat pendidikan awal di Sek. Men. Raja Perempuan, Jalan Batu Bungkal, Ipoh, Perak. Atas kesedaran mendalami ilmu agama, beliau mengikuti Kursus Dakwah dan Kepimpinan di Kuala Lumpur. Minat yang mendalam juga mendorongnya mengikuti kursus Perguruan Al-Quran Tahap 1.
Beliau cuba menggunakan bakat yang dikurniakan olah ALLAH ke jalan yang sebaik-baiknya. Perjuangan Rasulullah s.a.w dalam menegakkan al-Quran dan Sunnah sentiasa membara dalam jiwa untuk menyuluh kehidupan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Melayari bahtera kehidupan berumahtangga bersama Saharom Abdul Aziz dan dianugerahi dua orang cahaya mata. Seorang putera, Muhammad Habibullah dan seorang puteri, Nurfathinah Uzma.
Beliau berpandangan bahawa dunia penulisan menjadikannya seorang yang celik mata hati. Menyedari apa sahaja yang dilihat dan yang berada di sekeliling mengingatkannya kepada Allah Maha Besar dan Maha Pencipta. Baginya penulisan merupakan satu pelaburan yang lumayan untuk saham di akhirat.