Salam Sejahtera.
Pembaca yang dihormati,
Bertemu kita di kali ini. Situasi yang sungguh mendidik, di bulan Ramadhan yang mulia. Sinopsis yang ingin saya simpulkan di bulan Ramadhan ini, antara lain:
Penglibatan diri dalam kumpulan tadarus di masjid.
Alhamdulillah, saya berpeluang mengikuti tadarus al-Quran di Masjid Puncak Alam, Bandar Puncak Alam. Adakalanya saya terlewat sampai, namun saya gagahi untuk meneruskannya setiap hari.
Akhirnya saya dapat mengikuti kumpulan tadarus sehingga selesai 30 juzuk. Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk terus berjinak-jinak dengan masjid - rumah Allah. Nak jadi baik, pergilah ke tempat yang baik. Moga hati ini sentiasa merindui masjid, di sinilah tempat mengukuhkan keimanan, suasana yang tenang, dapat mengingatkan diri tentang kebesaran Allah dan mendorong manusia menjadi baik.
Saya hendak menjadi baik, sebab Allah memerintahkan manusia untuk beriman kepada Allah dan Rasul. Menjadi baik adalah dituntut dan fitrah manusia memang mahu kepada kebaikan. Hendak menjadi baik senang sahaja, kembali dengan hidup membaca dan merujuk al-Quran, memahami dan amalkan. Jalan kebaikan telah tersedia hanya kita perlu menjadi taat untuk melakukan apa yang wajib dan sunat. Perkara haram tinggalkan.
Wahyu pertama kepada Rasulullah s.a.w, ialah iqra'- bacalah. Apa yang hendak dibaca? Semua bahan bacaan yang memberi kebaikan dan jauhi bahan bacaan yang boleh merosakkan akidah dan akhlak. Terutamanya membaca al-Quran.
Ingin saya bertanya; setidak-tidaknya pernahkah kita khatam membaca al-Quran dengan terjemahannya sekali?
Satu perkara yang ingin saya sentuh ialah adakalanya segelintir manusia rajin membaca al-Quran tetapi tidak memahami makna. Alangkah baiknya bila kita membaca al-Quran dan paling tidak bacalah terjemahan sekali.
Bila cerita tentang azab di neraka, kita boleh menjadi gerun dan berdoa agar di akhirat nanti tempat kita bukan di neraka. Di saat ini diri berazam untuk tidak ingin melakukan maksiat dan kemungkaran yang ditegah Allah.
Apabila tiba tentang ayat-ayat syurga, terasa sangat indah dan gembira. Dalam syurga telah dibayang penuh dengan sungai-sungai yang mengalir indah, pelbagai buah-buahan, ada bantal, tilam, permaidani yang cantik empuk dan lain-lain. Hati terdorong untuk masuk syurga Allah.
Di akhirat nanti manusia hanya ada dua pilihan; syurga atau neraka. Pilihan itu dilakukan semasa kita masih hidup di dunia ini. Jika itu yang dapat ditingkatkan dalam diri, barulah membaca al-Quran itu dapat membentuk peribadi yang baik.
Bukan sekadar sibuk untuk mempertikaikan panjang pendek bacaan, makraj huruf dan lain-lain hingga melupakan untuk melihat jauh ke hadapan, iaitu disegi peningkatan amalan dalam kehidupan seharian.
Membaca al-Quran itu dapat melembutkan hati yang keras. Diceritakan Rasulullah s.a.w dan para sahabat mampu menangis teresak-esak bila membaca al-Quran. Yang sedihnya, kita mampu ketawa bila membaca al-Quran (sebab tidak faham makna).
Kita lihat mereka yang bukan Islam (pastinya tidak tahu membaca bahasa al-Quran) sekadar membaca terjemahan sahaja, sudah terdorong untuk memilih Islam sebagai cara hidup lantas mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh yakin. Hanya dengan membaca al-Quran mampu mengembalikan mereka kepada agama Islam yang tinggi dan mulia.
Kita bagaimana?
Sejauhmana hidup kita sentiasa berpandu kepada al-Quran dan dapat mengingatkan kita kepada Allah, Rasul, hari akhirat, hari pembalasan, tentang kematian, tentang hidup selepas mati, keazaban neraka, keindahan syurga, cerita-cerita para nabi yang berdakwah mengajak menyembah Allah, tentang hukum-hakam, pakaian wanita yang selayaknya, bagaimana mendidik anak-anak, puasa di bulan Ramadhan, pahala sedekah, berjihad di jalan Allah dan lain-lain.
Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas, jika nak menulis dakwat selautan tidak termampu untuk kita menulis tentangnya. Bukankah al-Quran itu sebagai peringatan, membacanya terlalu banyak mutiara yang berharga untuk dipungut dan sekaligus mendapat keuntungan di dunia dan akhirat. Semuanya dengan rahmat Allah.
Salam 27 Ramadhan 1437H.
Zuhriah Mohamad Juoi.