Assalamualaikum.
Pembaca yang dirahmati Allah.
Buat kesekian kalinya saya ingin mengambil kesempatan di bulan Syawal ini untuk menulis sesuatu. Pada bulan yang gembira ini, saya sekeluarga menerima ramai tetamu terutama dari kaum keluarga adik beradik.
Alhamdulillah tetamu yang datang, sedaya yang mampu kami melayan sebaik mungkin. Silih berganti tetamu yang datang berkunjung, nampaknya hari raya kali ini, kami tidak banyak berjalan, kami menggunakan masa untuk menyambut kedatangan tetamu.
Paling menggembirakan kejayaan penduduk Taman Alam Perdana, Bandar Puncak Alam ini menjayakan rumah terbuka. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan dan begitu meriah sekali. Walaupun hujan turun pada malam itu, ia sama sekali tidak menjejaskan tetamu yang hadir.
Kami saling berkenalan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama, sambil menikmati makanan yang dibawa masing-masing. Makanan pula semuanya sedap-sedap dan enak belaka.
Saya selaku salah seorang daripada Ajk PKAP (Persatuan Komuniti Alam Perdana) sangat gembira di atas kejayaan ini, sebab inilah kali pertama ia diadakan. Ia membawa hasil yang baik sebagai mengeratkan hubungan sesama penduduk di taman ini.
Di samping menyambut Syawal yang pastinya dengan penuh kegembiraan, saya ingin pastikan agar diri ini tidak terlepas untuk melakukan puasa sunat enam hari. Walaupun setiap hari penuh dengan hidangan dan kuih muih yang menyelerakan, namun mujahadah diri pasti dilakukan.
Masih terasa kemanisan berpuasa di bulan Ramadhan, seronoknya bertadarus al-Quran dan melakukan tarawikh. Amal ibadah ini mesti diteruskan pada hari-hari yang mendatang. Puasa-puasa sunat, rutin mengaji al-Quran, mendengar kuliah di masjid, solat dhuha dan tahajud serta amal ibadah yang lain. Bukankah itu semua dilakukan oleh Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda.
Andainya kita selalu ingat dan sayang kepada Rasulullah s.a.w, pasti kita juga ingat untuk melakukan apa yang telah dilakukan oleh baginda.
Sayang selalu, jumpa lagi. In sha Allah.
22 Ramadhan 1437H.


