Jumaat, Disember 18, 2015

SECUBIT RASA PETANG JUMAAT.

Assalamualaikum. 
Alhamdulillah bertemu kita di kali ini. Terasa datang tiba-tiba untuk menulis sesuatu. Bagai disentap-sentap untuk terus menulis dan menulis. Sesuatu yang sering saya lakukan di kala fikiran berserabut dan tidak ada manusia yang ingin diajak berbual atau bersembang. Di sinilah saya dalam melayani fitrah untuk meluahkan sesuatu. 

Hanya menekan keyboard yang bisu ini saya dapat menyuarakan suara secara senyap. Masih ingin saya melahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. Betapa baiknya Allah kepada para hamba-Nya. Alhamdulillah, atas segala nikmat yang dikurniakan.

Menempoh kehidupan, kadang dirasakan ada sahaja yang tidak kena. Buat itu tak kena, buat ini tak kena. Rasa serba serbi tak kena. Rasa tidak kuat untuk menghadapi segala dugaan. Saya terfikir mengapalah saya boleh berkeadaan sedemikian. Mungkin saya tidak menjaga solat - menunaikan solat di awal waktu? 

Mungkin saya terlepas pandang untuk sentiasa berdoa kepada Allah. Mungkin tidak 100% bersangka baik kepada Allah. Sangka bahawa segala kejadian pasti ada hikmah yang hendak Allah tunjukkan atau menentukan itu takdir yang terbaik untuk saya.   

Dalam termanggu-manggu bermuhasabah diri, baru saya sedari saya tidak berkesempatan menulis sesuatu dalam masa yang banyak atau lama. Terlalu sibuk ke sana ke mari menyebabkan adakalanya mencuri-curi masa untuk menulis. Bila tidak menulis, dirasakan ada sesuatu yang lopong dalam hidup ini walaupun aktiviti lain berjalan lancar. 

Saya ingin menulis sebanyaknya, memberi tumpuan masa kepada menullis. Moga Allah bantu saya dalam mengatur masa dan bertekun untuk menulis. 

Idea bukan sahaja bertompok di minda, ia perlu diterjemahkan melalui tulisan dan mengembangkan idea tersebut. Biar kreatif dan berseni dalam menulis untuk menyampaikan sesuatu yang bermanfaat. 

Perlukah saya berkurung diri untuk menyiapkan buku? Adakalanya saya terfikir untuk berbuat demikian, tetapi tidak berkesempatan. Saya perlu menemui  masyarakat untuk mengajar al-Quran. Mengajar al-Quran penuh jadual setiap hari. Bukan kerana tuntutan wang yang dicari, tetapi membantu segelintir masyarakat yang ingin mendekatkan diri kepada al-Quran. 

Ingin saya berkata dalam hati; 
"Jaga-jaga menjaga hati, hanya Allah yang tahu apa niat yang di dalam hati. Adakah apa yang saya lakukan benar-benar kerana Allah atau ada perkara lain di sebaliknya. Perbetulkan niat dan nilailah hatimu sendiri. Jika engkau tersasar, kembalilah kepada Allah."

Setakat ini coretan kali ini, sekurang-kurang ia dapat menenangkan keadaan hati saya ketika ini. Insya Allah. 

Salam sayang pada petang jumaat yang penuh berkat, 
Zuhriah Mohamad Juoi.