Assalamualaikum.
Adakala saya suka duduk menyepikan diri seketika. Saya memikirkan bagaimana mengurus diri untuk mencari pengalaman dan menambahbaik untuk menjadi penulis yang terus menulis. Di segi apapun, ilmu menulis terlalu luas untuk ditimba. Namun begitu catatan yang ada ini akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk membentuk dan melatih diri dalam bidang penulisan.
Orang yang minat menulis, akan terus menulis. Bila dia tidak menulis sesuatu, serasa ada sesuatu yang kosong dalam dirinya. Ketika diri terlalu sibuk mengurus hal itu ini dalam kehidupan, saya tidak berkesempatan untuk tenang-tenang duduk di meja komputer. Bila hari-hari yang demikian, saya rasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena dalam kehidupan ini.
Saya akan kembali merenung diri dan berfikir. Saya menjadi terhibur bila dapat menulis sesuatu di sini. Antara catatan yang sempat saya tulis untuk terus melatih diri dalam penulisan:
1. Perlu diatur dengan penuh strategi.
Menjadi seorang penulis hendaklah diatur dengan penuh strategi. Ia bukan hanya sekadar menulis, minda perlu ligat dan kreatif untuk mencari cara komunikasi yang paling baik untuk menjadi tatapan pembaca dan diri sendiri.
2. Kuat jiwa dan punya komitmen tinggi.
Penulis diibaratkan sebagai seorang yang sedang mengikuti pertandingan maraton. Demi mencapai garisan 'tamat', seseorang itu hendaklah cerdik mengatur tenaga agar diri tidak kepenatan di tengah jalan atau tiba-tiba menjadi hilang punca.
Proses menyelesaikan sebuah manuskrip umpama seperti sebuah pertandingan maraton. Bagi melakukan draf tulisan sahaja ia sudah mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun sebelum menulisnya.
Proses menulis yang panjang memerlukan tenaga dan komitmen yang bersungguh. Penulis yang konsisten menghasilkan karya semestinya sudah memiliki sikap yang bersungguh-sungguh dan perlu bekerja keras. Tidak peduli apapun rintangan di hadapan, manuskrip hendaklah disiapkan hingga ke penghujung.
3. Tidak boleh menulis hanya bila ada mood.
Penulis yang mantap melakukan aktiviti menulis sebagai pekerjaan yang mesti dilakukan setiap hari. Tanpa memperdulikan mood dan keadaan hatinya. Apa situasi pun, tidak ada alasan untuk tidak menulis.
Jika selama ini menulis sebagai aktiviti menulis atau mencurahkan isi hati di kala mood baik, maka lupakanlah cita-cita untuk menjadi penulis. Lupakanlah masalah peribadi untuk meneruskan plot cerita atau bab-bab yang telah yang telah dibuat.
4. Sentiasalah berusaha untuk memotivasikan diri sendiri. Belajarlah untuk mengalahkan diri sendiri. Dorongan berkarya dari dalam diri. Berkaryalah setiap hari. Mampu mengalahkan kemalasan dan ketakutan yang berkecamuk di dalam diri. Boleh duduk diam di depan laptop dan menulis hal-hal yang diyakini dan kuasai pengetahuan itu.
5. Bila karya sudah menjadi milik pembaca.
Sebaik atau seburuk mana karya yang dihasilkan, pasti tidak dapat memenuhi kepuasan semua orang. Teruskan konsisten menghasilkan karya, bukti kita kerja keras melalui otak dan ketikan jari jemari yang Allah anugerahkan kepada kita.
6. Meskipun hasil tulisanmu tidak berapa bagus, teruslah menulis.
Bila mengalami writer's block iaitu kehilangan semangat dan idea untuk meneruskan tulisan. Mungkin berkaitan dengan masalah peribadi, keletihan bila menulis lama, berkarya tanpa mengambil tahu untuk menghiburkan minda.
Menulislah dengan menganggap perkerjaan pejabat yang wajib diselesaikan lebih kurang lapan jam setiap hari. Jika serius hendak menjadi penulis. Tidak ada alasan untuk mengelak atau memberi alasan untuk anda tidak menyukai pekerjaan menulis.
Teruslah menulis, tidak peduli apa-apa jua hasilnya nanti. Usah risau, peranan editor akan mengedit tulisan tersebut. Menyerah pada keengganan diri untuk terus menulis adalah sebuah bentuk kekalahan.
7. Minda ligat menangkap idea baru setiap waktu.
Minda kita akan selalu dipenuhi idea, cerita yang berubah-ubah atau bertambah-tambah. siap mencatat fakta yang kita temui seharian untuk digunakan bagi mengukuhkan jalinan cerita yang sedang ditulis.
Minda seorang penulis tidak akan pernah sepi. Ia ibarat span yang menyerap air yang ditumpahkan dengan cepat. Catatkan sahaja idea yang muncul secara tiba-tiba. Masa yang lain akan kita kembangkan menjadi cerita yang menarik.
8. Kenali pembacamu.
Penulis mampu untuk mengenali mereka yang membaca buku-buku mereka. Komunikasi ini mudah dijalankan kerana kemudahan untuk berkomunikasi di alam maya, walaupun tidak pernah bertemu.
9. Baca buku yang bagus.
Sentiasalah membaca buku yang baik, bukan buku yang rendah nilainya. Buku yang baik ertinya yang mengingatkan kita kepada kejayaan di dunia dan akhirat.
10. Lahirkan karya dengan sentuhan hati dan sepenuh jiwa. Apa sahaja yang dilakukan yang datang dari hati akan mudah jatuh ke dalam hati manusia yang lain. Di sinilah perlunya menulis dengan semangat dan sepenuh hati dan bukannya semangat tahi ayam.
(bersambung).
