Agak lama tidak menulis di blog. Sedang menumpukan kepada satu projek. Doa dalam hati agar projek ini berjaya dan berhasil. Saya gigihkan diri untuk terus menyulam rasa dan jari jemari menari rancak ikut irama hati dan alunan fikiran. Di sini saya setia melahirkan sesuatu, harapnya ada kebaikan untuk semua.
Andainya ketika ini saya dalam situasi kehambaraan rasa. Nampak seperti semuanya celaru dan kelabu. Semuanya gundah, tawar tiada perisa yang menyamankan. Hanya kesabaran menjadi penawar yang paling mujarab.
Selepas hujan selalunya kelihatan pelangi yang indah. Moga tempiasan hujan dan pelangi itu menggembirakan dengan warni warni yang memberi semangat. Agar warna warni yang cantik itu dapat melekakan apa yang dirasai kini. Sekadar hiburan untuk merangsang jiwa dan minda agar optimis untuk sesuatu yang lebih bererti dalam meniti perjalanan hidup ini.
Kerja-kerja penulisan tetap saya lakukan dan lebih bertekun. Belajar dan terus membaca. Kali ini cuba membaca bagaimana gaya penulisan seorang Sasterawan Negara. Aduh...masya Allah...berpinar-pinar juga mata dan fikiran saya di buatnya. Kali ini saya sempat meminjam di perpustakaan;
![]() |
| Ghalit seketika dibuai oleh susunan cerita dan bahasa yang sungguh indah dan penuh makna. |
![]() |
| Memang tepatlah menjadi Sasterawan Negara. |
![]() |
| Buku yang saya beli untuk rujukan seterusnya. |
"Adui mak! Memang tergeliat untuk memahami makna-makna yang tersirat di dalam tulisan mereka."
Saya belajar bagaimana keindahan bahasa dan keberkesanan penulisan, apa yang hendak mereka sampaikan kepada masyarakat sebenarnya. Dan saya juga teruja untuk terus menekuni selok belok ilmu penulisan.
Mudahkan ya Allah, agar hadirnya saya ke dunia ini memberi erti kepada umat. Amin ya Allah.


