Jumaat, November 28, 2014

JAGALAH ALLAH

Assalam.

Jagalah Allah, Dia pasti menjagamu. Jagalah Allah, Dia sentiasa bersamamu. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Saya mulakan dengan bab mengingati Allah dalam segala Allah. Tidak kira sama ada dalam keadaan suka atau duka, perintah Allah tetap diutamakan. Itu satu perjuangan. Menjaga Allah dalam ertikata kita melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan apa sahaja yang telah menjadi laranganNya.

Usah memandang atau menoleh orang lain, sejujurnya kita bertanya pada diri dan hati sendiri. Adakah selama ini aku benar-benar memperjuangkan hukum Allah yang lima itu? Wajib, haram, sunat, makruh dan harus? Jawapannya pasti mana ada manusia yang serba sempurna. Tapi mesti ada niat untuk menjadi hamba dan khalifah Allah yang sebaik mungkin.

Menoleh perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, bagaimana kesungguhan mereka dalam menunai dan mendahului hak-hak Allah yang diberi keutamaan, akhirnya hingga kini Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah contoh terbaik untuk kita teladani. Membaca sirah perjuangan mereka bagaikan disirami air, menyegarkan semangat ingin menjadi mereka yang memiliki kekentalan keimanan. Memilih kehidupan yang serba sederhana kerana mendahulukan hak-hak perjuangan Allah dan Rasul. 

Bila ramai di kalangan para sahabat yang menghafal al-Quran terkorban di medan peperangan, Saidina Umar al-Khatab mengusulkan agar al-Quran dapat ditulis untuk generasi yang akan datang. Zaid bin Tsabit selaku (penulis wahyu ketika Rasulullah s.a.w masih ada) telah diamanahkan untuk menulis al-Quran di atas pelepah-pelepah tamar ketika itu. Bersusah payahnya perjuangan para sahabat, kita dapat menikmati membaca al-Quran pada hari ini. 

Kembali membaca al-Quran yang merupakan wahyu daripada Allah, bermakna kita kembali kepada Allah. Cuba memahami, melaksanakan dan memperjuangkan sungguh-sungguh. Andainya Allah ambil nyawa, Allah jua yang tahu niat seseorang. Moga mati dalam kebaikan.