Assalam.
Kita berjumpa lagi dalam masa yang cukup terbatas. Saya cuba menulis seringkas yang boleh. Bergantung pada minda dan rasa hati yang bagaimana situasi saya berada sekarang.
Rasa sunyi mencengkam diri. Tanpa mereka yang saya kasihi. Namun, Allah tetap ada untuk saya meluahkan segalanya tanpa rasa segan dan silu. Tanpa diberitahupun Allah pasti mengetahui, sebab Allah Maha Mengetahui.
Alhamdulillah, dalam keadaan apa sekalipun saya tetap memanjangkan ribuan kesyukuran. Saya masih bernafas cuma Allah berikan sedikit ujian berjauhan dengan anak-anak. Sekelumit cuma ujian perpisahan ini, ada lagi yang lebih besar yang perlu saya fikirkan.
Seketika masa berlalu, sempat juga saya menjenguk ke Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah ini. Mendengar kuliah, solat berjemaah dan menghulurkan bantuan apa-apa kerja yang boleh saya bantu. Terutama di bahagian dapur muslimah, mesti ada kerja yang boleh dibantu terutama bila ada program masjid.
Melakukan kerja-kerja kebajikan perlu kepada kesedaran hati yang kita melakukan sesuatu hanya semata kerana Allah. Sebab kerja-kerja amal begini ia tidak menjanjikan apa-apa habuan di dunia. Cuma kebiasaannya bila kita melakukan sesuatu kerana Allah - hanya Allah jua yang akan memberikan ganjarannya. Sesungguhnya ganjaran dari Allah itu lebih mahal dan tidak terduga oleh kita.
Cukuplah kita menyerahkan hanya kepada Allah, supaya kita dapat mendidik diri menjadi mereka yang hanya semata-mata bergantung kepada Allah. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan tetapi jika kita melatih selalu, insya Allah, kita dapat melakukannya. Ingatlah bila kita datang masjid, ertinya kita mengunjungi rumah Allah. Rumah Allah yakni masjid adalah tempat yang baik untuk kita melatih diri menjadi orang yang baik dan orang yang selalu mengingati Allah.
Saya ingin melatih diri menjadi orang baik dan mati dalam kebaikan. Semoga Allah mengabulkan doa saya ini.