Ahad, Julai 06, 2014

HIDUP MESTI BERSUNGGUH.

Assalam. 
Hari ini, hari yang ke lapan berpuasa. Pagi ini hati terdorong, lepas subuh, saya menuju ke masjid mendengar kuliah. Moga-moga Allah pimpin hati ini untuk terus menjadi baik dan mencintai kebaikan.  

Hari ini juga, saya sudah berjanji untuk masakkan sambal ikan bilis dan kacang untuk Uzma. Masak banyak sikit, boleh Uzma bawa bekal ke kolej. Insya Allah. 

Esok, subuh-subuh lagi saya perlu menghantar Uzma ke UITM dan ayahnya ke pejabat. Hidup sentiasa cepat dan masa bergerak pantas. Otak juga perlu dikerah untuk berfikir cepat, agar tidak selalu ketinggalan. 



Teringat pula semalam, saya ada bercerita tentang seorang kanak-kanak yang masuk kumpulan bertadarus. Ketika saya selesai menunaikan solat isyak berjemaah di masjid, datang dua orang kanak-kanak bersalaman dengan saya. Salah seorangnya adalah kanak-kanak itu. Baru saya tahu namanya Nana (yang tidak lancar mengaji tetapi baik akhlaknya). Saya doakan dan target lepas habis Ramadan ini, Nana akan lancar membaca al-Quran. Insya Allah.
   
Anak-anak bila datang ke masjid, mereka buat bising. Mereka bukan solat. Baik anak lelaki atau anak perempuan. Budak-budak jika tidak dikawal begitulah jadinya. Masih berseronok dan tidak tahu bagaimana adab-adab berada di masjid. Mungkin mereka tidak didedahkan untuk menjaga adab di rumah Allah. Sejauh mana pula peranan kita untuk membantu anak-anak ini. Untuk menegur kena juga berstrategi dan penuh hikmah. Tidak boleh pakai balun dan marah-marah sahaja. 

Masa yang singkat antara jam 10 hingga 11 malam yang dapat saya berkongsi dengan anak-anak tersebut, saya pesan datang masjid bukan untuk bermain tapi untuk bersolat. Solatlah isyak dan tarawih lapan rakaat. Emak ayah suruh datang ke masjid untuk bersolat dan tadarus, bukan untuk main-main dan berkejar-kejaran tidak tentu arah. Apa lagi anak-anak perempuan.  

Alhamdulillah, ada juga yang mendengar pesanan tersebut. Sejuk mata memandang. Sedikit sahaja usaha yang dapat dilakukan untuk melihat anak-anak ini agar bersungguh dalam beramal untuk kebaikan diri dan agamanya. Itu lebih baik daripada tidak berbuat langsung. 
Menyemak bacaan tadarus anak-anak kariah kampung. Nana yang duduk di sebelah saya.