Jumaat, Julai 04, 2014

HATINYA BERSIH.

Assalam.

Ketika ini saya baru pulang dari masjid. Selesai menunaikan solat tarawih lapan rakaat dan 3 rakaat witir. Ini memandangkan saya perlu menyemak bacaan anak-anak kariah kampung bertadarus al-Quran.  

Saya masuk ke dalam bilik muslimah untuk menyemak bacaan anak-anak, mereka sudah sedia menunggu. Allahu Akbar. Sudah namanya kanak-kanak yang bersekolah rendah, pening kepala saya melihat gelagat mereka. Seperti biasa, ada yang lancar bacaannya dan ada juga yang tidak berapa lancar. Tapi bila saya fikirkan anak-anak ini bersih hatinya, saya menjadi semangat untuk terus menyemak bacaan mereka.  

Ada seorang budak ni, darjah tiga tidak silap saya. Sangat lemah bacaan qurannya. Dalam masa yang singkat, lagipun dah malam, saya tidak dapat untuk memberi tumpuan kepada dia seorang. Bila dia membaca ramailah kawan-kawan yang menegur kerana banyak kesilapan yang dilakukan. Tetapi yang baiknya, budak ni cool sahaja. Dia boleh tenang dan terus membaiki bacaan dengan teguran yang telah dilakukan oleh kawan-kawan. Sabarnya dia dan kepalanya tunduk sahaja. Mungkin sedikit malu kerana tidak lancar membaca.    

Saya terpikat dengan akhlak yang ditunjukkan. Insya Allah jika ada masa yang terluang saya akan mendekati kanak-kanak ini. Timbul pula rasa kasihan, mungkin dia berminat untuk mengaji al-Quran tetapi tidak berapa mendapat bimbingan. Saya doakan dia cepat belajar dan dapat mengaji dengan lancar. Mungkin dengan berkat bulan Ramadan 1435 H, sepanjang berkesempatan bertadarus,d ia dapat menambah ilmu dan melancarkan bacaannya quran. 

Ya Allah ya Tuhanku, aku mohon pada-Mu, berilah aku sedikit kesabaran dalam membimbing anak-anak yang hati mereka masih bersih lagi. Berilah aku kekuatan untuk membantu mereka ini. Terima kasih wahai Tuhan, kerana mengizinkan aku untuk beramal dengan ilmu yang sedikit. Moga ilmu yang sedikit ini membuahkan amal yang banyak. Amin ya Allah. 

Buai laju-laju hingga sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab. 

Bukannya gigi dah bertaburan pergi
Baru nak mula baca kitab.     
  
Pendidikan al-Quran bermula dari anak-anak masih kecil.