Minat menulis yang sebenar ialah apabila seseorang itu ingin menulis pada waktu dia suka dan waktu dia bersedih. Tatkala diri dilanda sedih yang amat sangat, selain mengadu kepada Allah, dia akan terhibur jika dia dapat menulis dan meluahkan apa-apa yang ada dalam fikirannya.
Fikiran dan jiwanya akan terhibur dengan menulis. Rasa sedih yang dialami akan hilang dan terubat dengan asyiknya dia menulis, meluahkan apa yang dirasa. Lebih-lebih lagi jika ada sesuatu isu yang menjadi bahan tulisannya.
Fikiran dan jiwanya akan terhibur dengan menulis. Rasa sedih yang dialami akan hilang dan terubat dengan asyiknya dia menulis, meluahkan apa yang dirasa. Lebih-lebih lagi jika ada sesuatu isu yang menjadi bahan tulisannya.
Pada situasi yang lain pula, seseorang yang didatangi rasa gembira, juga akan mendorongnya untuk menulis. Dia akan menulis dengan rasa gembira dan pantas. Dia merasakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan. Seolah-olah dia selalu menulis dengan tiada paksaan tetapi penuh kerelaan. Mungkin bila sudah sampai ke tahap yang begitu, seseorang sudah menjadi penulis yang tegar dengan dunia penulisannya yang tersendiri.
Begitulah jadinya bila seseorang sudah menekuni bidang yang menjadi minatnya, bukan sahaja dalam bidang penulisan tetapi dalam apa jua bidang yang menjadi keutamaan dan kesukaannya. Merenung ke dalam diri, kita mesti menilai dan ada keyakinan untuk mencuba sesuatu idea dan menulisnya untuk dipersembahkan kepada khalayak ramai.
Tidak perlu bimbang untuk menerina teguran ataupun kritikan. Itu semua asam garam dalam mematangkan mutu penulisan. Teguran dan kritikan yang membina dianggap sebagai batu pengasah bagi menajamkan mata pena dalam medan perjuangan. Pujian yang melambung pula tidak akan meleka atau melalaikan sang penulis. Pujian dan sanjungan menjadi pendorong untuk terus mencuba menghasilkan karya-karya yang bermanfaat untuk masyarakat.
Tidak dinafikan menulis memerlukan komitmen masa yang betul-betul padu dan fokus yang berterusan. Itu adalah cabaran bagi menyiapkan sebuah buku. Andainya penulis bermain-main dengan masa dan tidak fokus alamat sampai kucing bertanduk pun, 'buku masih dalam proses'. Itu belum lagi termasuk kerja-kerja penyuntingan dan sebagainya, melainkan jika kita sudah menjadi penulis yang ada nama dan dikenali dunia.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan