Isnin, Februari 10, 2014

AL QURAN ITU, BACALAH.

Al Quran itu sangat besar ertinya buat diri. Ia bukan sekadar menjadi perhiasan atau tersusun kemas di rak buku. Tugas terbesar pada setiap peribadi yang mengaku umat Islam adalah membacanya dan terbaik bila kita dapat beramal dengan apa yang termaktub di dalamnya. 

Selain mempelajari, meningkatkan pelajaran ilmu tajwid untuk membacanya secara tartil, alangkah baiknya jika kita juga turut memahami ayat-ayat yang dibaca. Paling tidak makna al-Fatihah itu kita hayati dan fahami ertinya. Maklum sahaja al-Quran itu dalam Bahasa Arab, bukan semua orang tahu berbahasa Arab. Tapi sekurang-kurang kita ada kesedaran dan peningkatan diri untuk memahami dan mengerti apa yang kita baca. 

Misalnya bermula dengan surah al-Fatihah dan diikuti dengan ayat-ayat seterusnya dan seterusnya. Sehari sedikit dan sedikit, alhamdulillah hinggalah 30 juzuk kita berusaha untuk khatam dan memahami apa erti ayat-ayat yang kita baca dan lagukan itu.

Andainya kesedaran ini yang ada dalam diri, pastinya al-Quran yang dikatakan sebagai mukjizat itu dapat membentuk peribadi kita ke arah yang lebih baik dari hari ke hari. Lihat sebagaimana peribadi Saidina Umar al-Khatab bila mendengar surah at-Toha yang dibaca oleh adiknya, langsung lembut dan lentur hatinya untuk memeluk Islam. Allahu Akbar - Allah Maha Besar. 



Sesungguhnya taufik dan hidayah, milik Allah. Namun bagi hati-hati yang menginginkan jalan kebenaran, pasti Allah memudahkan, memberi dan menunjukkan jalannya. Kita juga telah banyak mendengar betapa dengan membaca terjemahan al-Quran sahaja, ramai mereka yang telah memeluk Islam.              

Apa lagilah jika kita ini yang sudah lama memeluk Islam (sejak kita lahir ke dunia ini), lebih-lebih lagi mampu meningkatkan diri bila kita kembali berpandukan kepada al-Quran. Lebih menjadi pantas untuk berjaya di dunia dan juga di akhirat sana.

Namun begitu, kita sering dilalaikan dengan kesibukan masa yang entah apa-apa. Konon sibuk, hingga tidak sempat untuk membuka dan membaca al-Quran dan seterusnya kita terus dialpakan dengan arus kesibukan.    

Sejauh manapun kesibukan yang dihadapi...pertahankan dan istiqomahkan dirimu setiap hari membaca al-Quran. Moga-moga dengan keberkatan membaca al-Quran hati kita sentiasa lembut dan bersih untuk melakukan kebaikan demi kebaikan dan ada kekuatan diri untuk meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah SWT. Agar sentiasa dalam kebaikan. mati dalam kebaikan dan kalimah Allah meniti dan membasah bibir di penghujung nyawa.  















Tiada ulasan: