"Hidup mesti diteruskan dengan daya juang yang bersungguh-sungguh." Zuhriah Mohamad Juoi.
Khamis, Ogos 01, 2013
SEKELUMIT BICARA HATI
Di penghujung Ramadan ini terasa hati sayu dan sedih. Pada malam-malam akhir ini apakah yang kita lakukan untuk menghidupkan malam? Malam yang terbaik daripada seribu bulan. Lailatul Qadar...
Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik." (Riwayat Ahmad)
Mengenang betapa akhlak Rasulullah s.a.w itu sungguh cantik dan menawan. Betapa Rasulullah s.a.w diceritakan sentiasa bangun malam menghabiskan masa-masanya beribadah kepada Allah. Apatah lagi pada 10 terakhir Ramadan dikisahkan Rasulullah s.a.w akan beriktikaf di masjid.
Menoleh ke dalam diri, rasa malu sendiri. Mengakui mencintai dan ingin mengikut akhlak Rasulullah s.a.w tetapi diri masih leka dan bersedap-sedap dengan enaknya tidur. Sayang untuk meninggalkan selimut, lembutnya bantal dan empuknya tilam. Diri dibuai-buai enaknya melayan nafsu tidur.
Sesungguhnya diri ini lemah. Namun perlu ada semangat untuk gagahkan diri di tengah malam. Ambil wuduk untuk solat, membaca al-Quran, berdoa dan ingat kepada Allah.
Andainya Rasulullah s.a.w seorang kekasih Allah masih tekun beribadah dan memohon keampunan kepada Allah apa lagi seorang hamba seperti aku. Ya Allah... berilah aku kekuatan untuk beribadah dan ingat kepada-Mu.
Berilah aku semangat untuk mencontohi Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Siang harinya mereka gigih berjuang, di malam hari terus gagah dan tiada penat untuk menunaikan solat malam. Mereka memiliki hati yang bersih. Ketakwaan mereka kepada Allah padu dan kental. Selayaknya mereka sentiasa mendapat pertolongan dan bantuan-Mu dan balasan syurga.
Ya Allah, aku mohon pada-Mu agar diberi kekuatan untuk mencontohi peribadi agung. Mereka yang memiliki hati yang bersih, yang takut pada noda dan dosa. Hati yang selalu merintih dan taubat daripada dosa-dosa silam. Hati yang ingin mencontohi peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Menjadi orang yang banyak berselawat kepada baginda dan berselawat bila mendengar nama baginda disebut.
Daripada Ali bin Abu Talib r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Orang yang bakhil ialah orang yang mendengar namaku disebut tetapi tidak berselawat di atasku." (Riwayat : at-Tirmizi)
Hati yang tidak lalai untuk sentiasa mengingati Allah. Andainya kematian datang menjemput terimalah sekeping hati yang mendambakan ampunan-Mu, ya Allah.
Menjelang subuh 24 Ramadan 1434H.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan