Tips untuk menulis.
1. Menulislah selalu.
Ilham yang datang jangan dilepaskan begitu sahaja. Apa sahaja tulislah dahulu. Nanti dapat dikembang dan dipanjangkan. Insya Allah.
2. Aktif menulis.
Menjadi seorang penulis perlu rajin menulis dan menulis. Elakkan menulis ikut mood. Bila rajin tulis panjang-panjang, bila datang rasa malas, kita tinggalkan. Sikap begini jika diamalkan akan melembabkan bakat penulisan.
Seeloknya menulislah selalu. Lakukan ia dengan santai tanpa tekanan. Pesanan penting elakkan dari tidak menulis terlalu lama, ia akan membantutkan perjalanan penulisan. Bila sudah berhenti lama, untuk memulakan semula akan mengambil masa yang panjang, seolah-olah ditimpa 'kematian selera' untuk terus menulis.
3. Berdoa.
Selalu berdoa agar dapat menulis sesuatu yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain. Berdoalah juga untuk memiliki hati yang jernih dan bersih.
Jika hati kita tenang dan jernih, kita akan dapat menulis dengan baik dan memberi panduan kepada hati yang membacanya pula. Ingat selalu, kata-kata yang lahir dari hati, akan jatuh juga kepada hati yang membacanya.
4. Elakkan.
Elakkan menulis sesuatu yang boleh memburuk dan menjatuhkan maruah orang lain. Walaupun kita boleh menulis apa sahaja yang kita sukai, namun ingatlah ada malaikat kiri dan kanan yang akan mencatit segala perbuatan kita.
Segala apa yang kita tulis, jika yang baik akan diberi ganjaran pahala. apa sahaja yang kita tulis tidak dengan syariat Allah, ia dianggap sebagai dosa. Pilihlah untuk pahala, agar kita terhindar dari neraka yang kita sendiri tidak kuat menahan api kepanasannya.
5. Anggap menulis satu hobi.
Bila kita telah dapat melakukan perkara yang disebutkan tadi, suatu ketika nanti, kita akan merasakan menulis suatu kemestian. Menulis satu kemanisan.
Pada tahap itu, tidak ada sesiapa yang memaksa untuk menulis tetapi kita lakukan penuh rela sebab ia suatu hobi yang menghiburkan.
Salam penuh kasih sayang,
Zuhriah Mohamad Juoi.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan