Selasa, Julai 02, 2013

CATATAN UMRAH - MEMBERI SUATU KEINDAHAN

Pemandangan yang biasa di lihat bila berada di dalam Masjidil Haram. Pekerja-perkerja silih berganti memastikan agar masjid sentiasa bersih.   
Bila kita mengunjungi Masjid Nabawi atau Masjidil Haram, di sana tidak ada sebarang tabung masjid yang diletakkan sebagaimana lazimnya masjid-masjid di Malaysia. Carilah tabung masjid, pasti kita tidak akan menjumpainya. 

Bagaimana kalau kita ingin memberi sedekah semasa berada di Masjid Nabawi atau Masjidil Haram? Paling mudah jumpalah pekerja-pekerja yang sedang mencuci lantai, mengutip sampah, mengelap rak-rak al-Quran atau yang bekerja di tandas. 

Jika ingin memberi, selalunya saya suka memilih pekerja-pekerja yang sedang mencuci lantai di tempat jemaah mengerjakana sai, di tempat minum air zam-zam dan jika mahu keluar atau masuk ke dalam masjid. Itu yang paling mudah saya rasakan. 

Di sinilah medan untuk melatih diri menjadi seorang yang suka memberi dan berikanlah kerana Allah, bukan mengharapkan sesuatu. Harapnya perbuatan yang begini dapat melatih diri dan membersihkan hati. Agar hati mudah terdorong untuk melakukan pelbagai kebaikan demi kebaikan. Bukan sahaja di masjid tetapi di mana-mana sahaja kita berada. 

Pekerja-pekerja yang bertugas sebagai tukang cuci di rumah Allah pasti pahalanya besar walaupun mereka tidak menjadi orang yang dikenali ramai. Ketika melihat dan memberi sedikit wang kepada pekerja tersebut, saya seolah-olah ingin mengatakan; 

"Bagusnya melihat kesungguhan awak bekerja mencuci lantai masjid sepenuh hati - ingin sekali saya menumpang pahala yang awak lakukan- tetapi saya tidak berpeluang. Saya memberi tanda kasih sayang saya kerana awak bekerja cara terhormat, bermaruah dan mencari rezeki yang halal."      

Mereka tidak pernah meminta-minta pada jemaah yang datang. Cuma jika ada jemaah yang memberi mereka tidak akan menolak. Malah menyambutnya dengan baik dan mengucapkan dengan perkataan yang sangat menyentuh hati bila mendengarnya. 

"Syukran ya Hajjah."

"Barakallah."

"Alhamdulillah."

"Subhanallah."

"Terima kasih."        

Mereka menerima penuh dengan rasa syukur dan itulah rezeki yang datang dari Allah. Allah jua yang membuka hati saya dan para jemaah yang lainnya untuk memberi kepada mereka. Kita tidak pernah mengenali mereka, tetapi kerana Islam hati menjadi tersentuh dan terasa ada ikatan persaudaraan seagama walaupun berlainan bangsa, keturunan dan hanya bertemu seketika. 

Ya...ingin saya luahkan di sini. Kesan memberi sangat besar ertinya. Ia memberikan rasa satu keinsafan, ada kalanya duit yang berada di tangan bukan bererti kita miliki semuanya. Ada kalanya kita hanya menjadi tukang mengurus wang untuk diagih-agihkan kepada mereka yang lebih memerlukan. 

Jangan takut wang anda akan habis, sebab janji Allah mereka yang memberi pasti akan menerima ganjarannya. Sikap suka memberi tidak semestinya menunggu kita untuk menjadi kaya raya. Yang penting latih diri suka memberi ketika kaya atau miskin. Beri satu nanti Allah ganti sepuluh. Apa lagi jika anda memberi dengan niat membantu agama Allah.      

Latih-latihlah diri, agar kebaikan yang dilakukan menjadi kebiasaan. Dan kebiasaan yang baik itu akan kita amalkan sehingga ke akhir hayat. Ingat juga bila kita mati nanti, semua akan ditinggalkan hatta suami, anak, harta benda, wang, kemewahan dan sebagainya. Yang dapat membantu ketika di alam barzakh hanyalah tiga perkara; 

1. Doa daripada anak-anak yang soleh. (pastinya yang tidak meninggalkan solat). 
2. Sedekah jariah yang dilakukan ketika hidup. 
3. Ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain semasa hidup.      

Wahai diriku, renung-renungkan dirimu ketika ini. 

Tiada ulasan: