Dalam hati terdetik; nampak macam tidak ada rezeki lagi untuk mencium Hajarul Aswad. Saya reda dan pasrah, andainya saya tidak berpeluang. Hati masih mengharap agar kali ini saya dapat mencium Hajarul Aswad.
"Alangkah indahnya pengalaman itu...alangkah indahnya pengalaman itu..andainya dapat mencium Hajarul Aswad."
Saya ingatkan diri, tidak elok jika kita suka berandai-andai atau berjika-jika atau berkalau-kalau. Usir diri untuk suka menggunakan perkataan andai, jika atau kalau. Tetapi gunakanlah perkataan in sha Allah - dengan izin Allah.
![]() |
| Beginilah Hajarul Aswad yang saya lihat dari jarak yang dekat ketika itu. |
Hajarul Aswad merupakan batu yaqut daripada syurga yang asalnya berwarna putih berkilauan. Kilauannya telah dihilangkan oleh Allah SWT, manakala warnanya telah bertukar kepada hitam kerana terkesan dengan dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia.
Ketika Nabi Ibrahim a.s meminta anaknya Nabi Ismail a.s. mencari seketul batu dari Jabal Abi Qubays, Makkah sebagai penanda tawaf, malaikat Jibril a.s telah datang kepada baginda dengan membawa batu ini untuk dijadikan sebagai penanda tersebut.
Hajarul Aswad asalnya adalah seketul batu. Namun begitu telah pecah menjadi 8 ketulan batu kecil dengan ukuran terbesar bersaiz sebiji buah tamar. Ketulan-ketulan becil ini telah diletakkan pada damar yang dilingkungi dengan sebuah penutup yang diperbuat daripada perak.
Hukum mengucup Hajarul Aswad pada apa jua masa adalah sunat bagi lelaki dan harus bagi wanita. Diingatkan kepada jemaah hendaklah menjaga aurat, adab sopan dan tingkah laku ketika berusaha mengucupnya.
Tiba-tiba sahaja pagi itu, Ustazah Nor mengajak saya untuk pergi mencium Hajarul Aswad.
"Awak nak cuba cium Hajarul Aswad tak?" Selamba sahaja pertanyaan daripada Ustazah Nor.
"Boleh juga jika Ustazah nak bawa." Jawab saya penuh rasa gembira sebab Allah bukakan hati ada insan yang ingin membantu.
Bersama Ustazah Nor, ditemani dengan suami dan beberapa jemaah wanita yang lain kami pergi menuju ke Masjidil Haram. Setelah melakukan solat tahiyatul masjid, solat taubat dan solat hajat kami pun berpimpin tangan menuju ke kaabah.
"Ya Allah, permudahkan urusan ini, jika ada rezekiku untuk mencium Hajarul Aswad. Permudahkanlah ya Allah."
Semasa umrah pertama kali dahulu (2011) saya pergi mengerjakan umrah tanpa ditemani suami, saya tidak mahu bersesak-sesak atau berebut-rebut dalam lautan manusia. Memadailah saya memandang dari jauh, mengangkat dan mengucup tangan ketika melakukan tawaf. Sebagai seorang wanita menjaga diri dari bersesak begitu lebih utama.
Namun umrah kali ini, bila ditemani mahram apa lagi suami, saya menjadi kuat dan nekad untuk cuba mencium Hajarul Aswad. Dalam keazaman yang sangat kukuh, saya bergabung dan bersesak dengan ratusan ribu jemaah umrah seluruh dunia. Dalam keadaan yang kalut dan manusia berebut-rebut, tiba-tiba saya terpandang ada satu lorong yang cukup untuk saya tebus dan terus menuju Hajarul Aswad. Tiba-tiba dirasakan wajah saya sudah berada di dalam kolong Hajarul Aswad.
"Ya Allah, syukur dengan izin-Mu dapat juga mencium
Hajarul Aswad. Terima kasih ya Allah."
Hati lega, lapang lagi mendamaikan. Alhamdulillah - terima kasih ya Allah, terima kasih ya Allah.
Selepas terkeluar dari kesesakan orang ramai - saya berjalan penuh lega menuju Hijr Ismail. Sekali lagi rezeki saya betul-betul murah - lorong ke Hijr Ismail terbuka luas untuk para jemaah masjid, setelah ia baru sahaja selesai dibersihkan.
"Alhamdulillah, selapang-lapangnya saya masuk ke Hijr Ismail."
| Beginilah lapangnya Hijr Ismail ketika saya berpeluang masuk ke dalamnya ketika itu. Alhamdulillah. |
Kawasan lengkungan berbentuk separa bulatan di utara Kaabah ini pada asalnya adalah tempat berteduh Nabi Ibrahim a.s dan seterusnya menjadi kandang kambing kepunyaan anaknya Nabi Ismail. Ia tidak termasuk dalam Kaabah berdasarkan binaan pada zaman Nabi Ibrahim a.s.
Namun begitu selepas pembinaan Kaabah oleh bangsa Quraisy, di mana ukuran panjangnya telah dikecilkan sebanyak 6 hasta 1 jengkal, sebahagian besar daripada Hijr Ismail telah dimasukkan sebagai kawasan kaabah.
Bagi sesiapa yang tiada berkesempatan untuk masuk ke dalam Kaabah, memadailah bagi dirinya berada di Hijr Ismail untuk beribadat.
Dapat mengucup Hajarul Aswad dan masuk ke Hijr Ismail dengan selapang-lapangnya, merupakan pengalaman yang baru dan gembira saya lalui. Begitulah bila Allah hendak mudahkan dan ada rezeki, senang sahaja Allah menjadikannya mudah. Hari itu hari yang paling gembira dan pengalaman yang sangat berharga dalam hidup.
Ingin saya kongsikan dengan pembaca semua. Ibrah atau pengajaran yang saya perolehi ialah doa dan niat yang baik-baik sahaja. Pasti nanti Allah mudah dan kabulkan.
* Kepingan gambar di atas (saya pilih - kerana menepati apa yang saya lihat ketika itu - saya ucapkan terima kasih kepada tuan pemilik gambar ini).

2 ulasan:
Alhamdulillah. Indahnya pengalaman, menitis air mata rindu membacanya. Semoga Allah menjemput kita semua lagi.
monalita mansor Amin ya Allah. Harap-harap kita dapat ke sana lagi. In sha Allah.
Catat Ulasan