Selasa, Julai 02, 2013

SEKETIKA DI LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KING ABDUL AZIZ, JEDDAH.

Mac 2013.



Ketika itu saya dan jemaah umrah baru sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah. Saya mengambil kesempatan untuk duduk sebentar, bagi merehatkan badan yang sedang keletihan. Perhatian saya tertumpu kepada sekumpulan jemaah umrah dari Pakistan.   
Ingin saya menyentuh sedikit tentang jemaah umrah yang datang dari negara Pakistan. Saya ingin menulis mengenainya, sesuatu yang menjadi kenangan yang sangat mendalam ke dalam jiwa. Bayangan jemaah umrah Pakistan.  
Saya terpinga-pinga melihat mereka yang berpakaian ihram beramai-ramai menguruskan borang visa.  Mereka sudah siap memakai ihram. Jika diperhatikan jenis kain ihram yang mereka pakai bukan seperti yang kebiasaan jemaah Malaysia pakai. 

Kain ihram Malaysia selalunya agak tebal dan lembut.  Mereka memakai kain ihram yang sama jenis seperti kain kapan. Memang betul... jenis kain kapan yang itulah yang digunakan sebagai pakaian ihram mereka. Hati sudah tersentuh melihat keadaan itu. 

Saya lihat mereka ini...tua-tua belaka. Yang lelaki tua dan perempauan pun tua. Tiada anak-anak atau sesiapa pun yang memimpin tangan mereka. Tapi masya Allah...semangat mereka sangat mengkagumkan. Boleh berdikari walaupun tua. Saya rasa malu dan terpukul sendiri. Dalam hati terdetik; 

"Walaupun tua semangat mereka kuat. Lihat tu! Gigih mereka nak melakukan umrah. Semangat atau keimanan mereka yang kental?" Saya berkira-kira sendiri sementara menunggu giliran untuk pemeriksaan passport antarabangsa. 

Saya rasakan walaupun mereka hidup susah dengan pakaian yang seadanya sahaja, atau datang dari pendalaman mana? Tetapi hati mereka nekad. Ada keazaman yang kuat untuk mengerjakan umrah. Justeru mereka kini berada di lapangan terbang ini dan pasti niat mereka mengerjakan umrah terlaksana. 

Memberi satu keinsafan buat diri, kaya atau miskin bukan menjadi halangan untuk seseorang menjadi tetamu Allah. Jika ada niat yang baik, pasti Allah tunaikan permintaan dan doa seseorang.

Iktibar buat diri.    

    

  

Tiada ulasan: