Jumaat, Mei 17, 2013

UMRAH - MOTIVASI DIRI



Di dataran Masjidil Haram seusai mengerjakan umrah.  
Pembaca yang dirahmati Allah, 
Hari ini saya melihat foto-foto yang masih tersimpan dalam telefon bimbit Samsung Galaxy Note. Masih ada saki baki foto yang belum saya paparkan melalui blog ini. 

Saya cuba alihkan ke blog walaupun agak mengambil masa. Akhirnya dapat jugalah saya melakukannya. Selalunya suami saya yang rajin dalam hal-hal yang begini, namun masih ada gambar-gambar yang saya sendiri mempunyai idea untuk disumbangkan ke blog ini. 

Tujuan paparan gambar ini dilakukan bukanlah untuk menunjuk-nunjuk (harap Allah memimpin hati ini), tetapi ia sebagai dorongan kepada mereka yang belum mengerjakan umrah. Pasti bila melihat gambar-gambar begini hati teruja, andainya suatu hari pembaca yang budiman dapat juga pergi ke sana. 

Ada juga saham yang dapat saya sumbangkan untuk para pembaca yang budiman walaupun hanya melalui blog. Insya Allah ia dimudahkan Allah dan banyaklah berdoa. Mintalah pada Allah, pasti nanti Allah akan perkenankan.    

Bila mendengar orang baru balik dari mengerjakan umrah terasa hati gembira, imbauan lambaian kaabah segera menerpa ke dalam fikiran. Pasti mereka juga akan melakukan kerja-kerja umrah sebagaimana lazimnya. Melakukan tawaf, sai, berihram, menggunting rambut dan lain-lain. Mengerjakan umrah mudah dan tidak mengambil masa yang lama, ia bergantung ke atas kemampuan atau kesihatan seseorang. 

Apa yang ingin saya nyatakan di sini, bagaimanakah akhlak kita selepas mengerjakan umrah. Kita usah berbangga jika dapat melakukan umrah saban tahun dan ada rezeki melakukannya berkali-kali. Tetapi kita perlu bertanya apakah ibadah umrah tersebut dapat menyucikan jiwa dan meningkatkan keperibadian atau akhlak kita selama ini. 

Antara seseorang dengan yang lain, mungkin mendapat hasil yang berbeza. Setengah orang balik dari mengerjakan umrah sangat berbeza perilakunya. Dia mendapat keinsafan diri yang jitu dan padu. Jika kaum lelakinya akan sentiasa cuba pergi ke masjid dan bersolat jemaah tidak pernah tinggal. Kaum wanita pula memadailah andainya dapat melakukan solat seawal waktu, dan jika berkelapangan turut berjemaah di masjid . 

Ya...saya diingatkan tentang ibadah umrah yang diterima Allah, ia mampu mendidik diri untuk tidak lalai kepada Allah dan meningkatkan akhlak sesama manusia. Andainya berlaku yang di sebaliknya, dikhuatiri umrah itu tidak diterima Allah. Harap perkara yang demikian dijauhkan Allah daripada kita. 

Sejujurnya ingin saya nyatakan pengalaman mengerjakan umrah pada tahun-tahun yang lalu, benar-benar dapat memotivasikan diri ke arah melahirkan rasa kesedaran untuk tidak lalai dengan perintah Allah. Di dalam diri sentiasa ada rasa keinsafan yang bertubi-tubi dan ia datang tanpa diminta. 

Pengalaman melihat kaabah dan melakukan tawaf, sentiasa segar untuk tidak lelah di kala diri kesedihan atau kepenatan dalam mengharungi asam garam kehidupan. Jiwa sentiasa segar untuk terus beristighfar kepada Allah dan memohon apa sahaja yang baik demi meneruskan perjuangan kehidupan. 

Diri sentiasa diingatkan, Allah sentiasa bersama kita, selagi kita mengingati-Nya dan taat melakukan perintah-Nya. Di kala itu, walaupun badan terasa lelah kepenatan tetapi hati tetap ingat Allah memberikan bantuan dan pertolongan, selagi kita terus memohon dan memohon kepada-Nya tanpa rasa kecewa atau putus asa. 

Iktibarnya pengalaman umrah mendidik diri saya;
  • Terus yakin akan kebesaran dan keagungan Allah. 
  • Mendidik diri menjadi orang yang sabar, tabah dan terus berusaha untuk dunia dan akhirat. 
  • Takut dengan janji Allah akan azab yang akan diterima bagi mereka yang derhaka dan ingkar akan segala perintah-Nya.  
  • Segala kesusahan hidup yang dialami sangat kecil jika dibandingkan dengan kesusahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang memperjuangkan Islam di bumi Makkah, Madinah dan serata dunia.  
  • Terus berdoa untuk melakukan pelbagai kebaikan dan mati dalam  perjuangan menegakkan syariat Allah. 
  • Kembali membaca sirah Rasulullah s.a.w, keluarga baginda, para sahabat,  para nabi dan orang-orang yang soleh. Mencungkil iktibar di sebalik sirah dan mencontohinya. 
  • Rindu kepada masjid sebab itu adalah rumah Allah. Mendisplin diri untuk saya selalu ke masjid, bukan sahaja ia tempat ibadah, di situ juga tempat saya mencari ilmu dan silaturahim sesama anggota masyarakat. Hidup terasa indah bila dapat melahirkan kasih sayang sesama saudara seagama.
  • Ketenangan diri yang dicari-cari oleh setiap manusia. Hati saya menjadi lebih tenang dan damai.                

Itu hanya sebahagian yang dapat saya nyatakan di sini. Ia masih masih banyak yang belum sempat saya terjemahkan melalui tulisan. Sesungguhnya saya menjadi akur akan kebesaran dan keagungan Allah. Selayaknya saya menjadi hamba yang terus melakukan ketaatan kepada-Nya.     

Tiada ulasan: