Jumaat, Mei 17, 2013

CARA SOLAT JENAZAH.

Menjelangnya bulan Rejab, terdengar berita kematian yang berturut-turut. Kematian terjadi selang berapa hari sahaja. Bemula di tengah, di hujung dan di mana-mana sahaja bahagian kampung. Tujuh kematian dalam jarak yang dekat. Kuasa Allah dalam menentukan nyawa seseorang. Sebagai manusia kita tidak dapat mengelaknya. Kematian adalah janji yang pasti untuk setiap manusia menghadapinya.   


Ini hanya gambar sahaja (masa praktikal kursus jenazah). 
Sebagai manusia yang hidup, waktu menziarahi kematian, adabnya kita tidak dianjurkan untuk bercakap yang sia-sia. Elok berdiam diri, sedekah bacaan al-Quran dan berdoa untuk jenazah. Terlebih malang lagi jika yang datang berziarah melakukan gossip, berbual-bual kosong dan bergelak ketawa. Perkara-perkara yang demikian mestilah kita jauhi.  

Bila tiba waktu untuk solatkan jenazah, bagi kaum ibu apa salahnya turut serta solatkan jenazah, jika tidak dihalangi apa-apa keuzuran yang mendatang. Sayang jika kita berada disitu tetapi hanya melihat sahaja. Alasannya tidak tahu solat jenazah. Secara mudahnya saya ingin menyentuh bagaimana kita melakukan solat jenazah ini.  

Solat jenazah paling mudah dilakukan. Di sini saya sertakan sekali caranya, khusus buat kaum wanita yang tidak biasa melakukannya. 
1. Niat. (Sahaja aku solat jenazah di atas mayat ini fardhu kifayah empat takbir, makmuman kerana Allah Taala)

2. Membaca Fatihah. (selepas takbir pertama)

3. Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. (selepas takbir kedua)

4. Mendoakan mayat. (selepas takbir ketiga)

5. Diikuti doa untuk mayat (selepas takbir ke empat).

6. Memberi salam. 

Mudah sahaja caranya. Jika masih tidak faham dan ragu-ragu sila bertanyakan lagi kepada para ustazah atau kepada mereka yang lebih arif. Saya hanya menyampaikan perkara yang mudah dan senang kita melakukannya. Lakukan solat jenazah bila berkesempatan untuk melakukannya, agar diri tidak merasa janggal atau kekok.    

Saya menjadi biasa melakukan solat jenazah bila berkunjung ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Selepas memberi salam menunaikan solat fardhu, jemaah akan segera bangun untuk mengerjakan solat jenazah pula. Sepanjang saya menunaikan solat di kedua-dua  masjid tersebut, pasti ada solat jenazah seusai solat fardhu. Di sana solat jenazah sudah menjadi kebiasaan bagi jemaah lelaki mahupun perempuan. 

Saya menyarankan jika kaum ibu datang menziarahi jenazah dan tiba waktu solat jenazah, ambillah peluang untuk melakukan solat jenazah. Mudah sahaja, apa lagi kita sebagai orang perempuan, bukan nak jadi imam pun, hanya ikut imam sahaja. Ambil wuduk dan berpakaian tutup aurat segeralah lakukan solat jenazah. Sekejap sahaja tidak lama. Itu lebih baik daripada kita melihat sahaja atau berbual-bual sesama sendiri.   

Tiada ulasan: