Sabtu, Mei 18, 2013

BACALAH AL-QURAN.

Mengajar kaum ibu membaca al-Quran memberikan saya satu peluang atau pengalaman untuk mendekati masyarakat. Bukan sahaja untuk masyarakat tetapi sebenarnya untuk menyuluh diri sendiri. Persoalan yang ingin saya lontarkan ialah sejauh mana seseorang itu membaca al-Quran dalam sehari? Sejauh mana juga kita memahami apa yang kita baca? 

Menyorot perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat mereka merupakan orang-orang yang hebat dan di antara mereka ada yang telah di jamin syurga tempatnya. Sepuluh para sahabat yang dijamin masuk syurga ialah: 

1. Abu Bakar As Siddiq
2. Umar Al Khatab
3. Utsman Affan
4. Ali Bin Abi Thalib
5. Talhah Ubaidulllah
6. Zubair ibnu Awwam
7. Saad Abi Waqqas
8. Said Bin Zaid
9. Abdul Rahman Auf
10. Abu Ubaidah  ibnu Jarrah  

Peribadi Rasulullah s.a.w dan para sahabat sudah terkenal dengan akhlak yang mulia di dalam setiap aspek kehidupan mereka. Keimanan dan juga ketaatan mereka kepada Allah dan Rasul. Lihat sahaja siapa yang mendidik mereka. Rasulullah s.a.w mendidik para sahabat pastinya berpandukan wahyu yang diturunkan oleh Allah melalui malaikat jibril ketika itu. Hasilnya lahirlah para sahabat yang hebat ketakwaanya kepada Allah. Berjuang semata-mata kerana Allah dan sanggup mengorbankan nyawa demi tertegaknya Islam. 

Bagaimana untuk kita menjadi sehebat mereka, jika kita tidak pernah membaca al-Quran? Mungkin jika ada yang boleh membaca al-Quran dengan baik, tetapi sejauh mana kita membaca terjemahan dan memahaminya. Di antara kita bukan semuanya faham Bahasa Arab. Kita perlu membaca terjemahannya untuk kita menghayati apa yang kita baca. Barulah datang rasa keinsafan dalam diri. 



Al-Quran adalah mukjizat dari Allah. Lihat juga sejarah Saidina Umar al-Khatab memeluk Islam. Hatinya terus terdetik untuk beriman kepada Allah dan Rasul bila mendengar adiknya membacakan surah Toha ketika itu.   

Ramai orang yang tidak percayakan Allah boleh masuk Islam hanya dengan membaca terjemahan al-Quran. Begitu indahnya al-Quran bila kita memahami dan mengerti apa yang termaktub di dalamnya. Hati terdorong untuk beriman dan melaksanakan perintah Allah. Itulah hidayah yang mengetuk pintu hati untuk kita terus mengingati dan menyembah Allah. 

Firman Allah;
"Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus." (Surah al-Isra': 9) 

Cukup rasanya untuk menyedarkan diri ini kembali dan mendisplinkan diri dalam membaca al-Quran setiap hari. Jika mahu membina peribadi yang kukuh kita perlu kembali untuk menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai makanan yang dimakan hari-hari.Tanpa ada apa-apa alasan pun untuk meninggalkannya. Hatta wanita yang dalam haid masih boleh meneruskan membaca terjemahan al-Quran. 

Secara jujurnya jawablah di dalam diri masing-masing, berapa kali kita telah habis membaca terjemahan al-Quran sepanjang hidup ini? Jawapannya ada di dalam hati kita. 
      

Tiada ulasan: