Rumah yang masih belum dapat didiami di Taman Alam Perdana, Ijok, 42300 Kuala Selangor.
Assalamualaikum;
Kepada;
Menteri Besar Seangor
Y.A.B Tan Sri Dato' Abdul Khalid Bin Ibrahim
Kesempatan yang ada melalui blog ini, saya ingin membuat pertanyaan yang terbuka kepada Menteri Besar Selangor. Saya sebagai salah seorang daripada pembeli rumah di Bandar Alam Perdana, 42300 Ijok, Kuala Selangor.
PNSB yang diamanahkan untuk menyelesaikan masalah rumah terbengkalai rumah teres kos sederhana (Lucida, Verona, Endora dan lain-lain) masih belum lagi ada jalan penyelesaian. Bila ditanya kepada pihak PNSB jawapannya masalah CF dan air masih lagi sangkut. Bila di tanya pada pihak peguam jawapannya pihak PNSB belum lagi memberi apa-apa dokumen untuk menyelesaikan masalah S &P.
Walaupun pihak PNSB berjaya untuk menyiapkan rumah yang terbengkalai sejak April 2012, ia masih lagi tidak memberikan apa-apa penyelesaian terutamanya kepada kebanyakan pihak pembeli. Saya melihat sudah ada beberapa orang peneroka tanah (yang tidak ada kaitan dengan pihak bank) sudah menduduki rumah di Bandar Alam Perdana sejak April 2012 yang lalu. Tetapi ia masih sedikit jika dibandingkan dengan pihak pembeli yang ada kaitan dengan pihak bank.
Hingga ke saat ini, tiada gunanya pihak PNSB mampu menyiapkan rumah tetapi di pihak pembeli masih tidak dapat mendudukinya. Pembeli berharap bila PNSB mampu menyiapkan projek yang terbengkalai itu, pembeli juga segera dapat menduduki rumah setelah lebih 12 tahun menunggu (projek bermula tahun 2000). Malangnya hingga ke hari ini sebahagian besar pembeli masih belum dapat menduduki rumah yang dibeli.
Bila dirujuk kepada pihak PNSB sendiri, masih tidak nampak kepastian yang terang. Masalah CF, air daripada pihak SYABAS, baki pinjaman bank oleh pihak pembeli masih lagi dijadikan alasan mengapa kunci rumah tidak dapat diserahkan secepat mungkin.
Melalui blog ini juga saya berharap agar pihak PNSB dapat memberikan kunci segera kepada pembeli-pembeli rumah. Usah sekadar berbangga projek rumah yang terbengkalai itu telah dapat disiapkan oleh pihak mereka. Soalannya..apa guna jika rumah dapat disiapkan tetapi tidak boleh diduduki? Sampai bila untuk pembeli harus menunggu dan mendengar pelbagai alasan yang diberikan oleh pihak PNSB sendiri?
Di sini saya memohon jasa baik Menteri Besar Selangor Y.A.B Tan Sri Dato' Abdul Kadir bin Ibrahim agar dapat membantu rakyat khususnya para pembeli rumah di Bandar Alam Perdana, Ijok agar segera dapat menyelesaikan masalah ini. Sekaligus menamatkan penantian selama belasan tahun dan segera dapat menduduki rumah yang dibeli.
Segala jasa baik pihak Menteri Besar Selangor pastinya dikenang oleh rakyat dan mendapat balasan jua daripada Allah SWT.
Saya memohon maaf kerana menulis secara terbuka melalui bolg ini. Saya merasakan ini adalah hak saya sebagai rakyat biasa yang ingin menyuarakan masalah kepada pihak yang sepatutnya tahu jalan untuk menyelesaikannya.
Segala keprihatinan Tan Sri diucapkan ribuan terima kasih.
Yang berharap,
Rakyat biasa.
|