Sabtu, April 27, 2013

SEPASANG KASUT

Perjalanan menuju Masjidil Haram. Bersesak dan berhimpit-himpit dengan ribuan manusia di dataran masjid. Saya, suami, anak dan jemaah umrah yang lain saling berpautan tangan agar tidak terlepas dan terpisah. 



Sebelum masuk ke dalam Masjidil Haram, kami meletakkan kasut di rak kasut dan yakin di situlah kami meletakkannya. Siap bertanda beg plastik atau beg kecil yang diberikan oleh pihak agensi umrah. 

Kami masuk ke dalam masjid dan tempat yang dituju mestilah saf solat yang terus boleh melihat kaabah. Kepuasan beribadah di hadapan kaabah, hanya individu tersebutlah yang mengetahui perasaan itu. Alhamdulillah satu ketenangan dan keindahan yang tidak dapat digambarkan. Subhanallah. 

Usai solat dan ingin pulang ke tempat penginapan, saya mencari kasut di rak tadi. Sedihnya....kasut sudah hilang. Redha dan pasrah, pulanglah dengan hanya memakai stokin. Alhamdulillah stokin agak tebal, jadi kakipun tidak merasa sakit.  



Singgah di kedai, terus saya memilih kasut yang sesuai. Tanpa mengira berapa riyal, terus bayar dan lega saya sudah memakai kasut. Bukan soal kasut yang hendak saya titik beratkan tetapi iktibar yang ingin saya dapat dari peristiwa ini; 

Saya boleh menjadi sabar dan tidak marah-marah. Rasanya inilah tarbiah daripada Allah untuk saya mendapatkan sifat sabar dan redha. Hanya kehilangan sepasang kasut...saya dididik untuk tidak marah-marah tetapi sabar dan senyumlah...

Setidak-tidaknya saya dapat memiliki sepasang kasut yang baru. Terasa diri seperti orang kaya baru kerana berpeluang membeli kasut yang baru setelah hilang berkali-kali. Adui...senyum dan ambil sahaja di sudut yang positif, agar diri masih boleh tersenyum. 

Ada orang hilang kasut terasa seperti hilang duit sejuta ringgit. Sedangkan kita boleh mengambilnya di sudut didikan Allah untuk kita memiliki sifat sabar dan redha. Ia bukan kehendak kita tetapi ia terjadi tanpa direncanakan, cari hikmahnya dan positif selalu. Agar kita tidak hilang bahagia.