Assalamualaikum;
Pembaca yang budiman.
Terlebih dahulu saya mengucapkan ribuan terima kasih ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan kurnia dan rahmat yang tidak terhingga buat para hamba yang sentiasa mendambakannya. Bila Allah berfirman : "Mintalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan."
Firman Allah itu benar-benar menginsafkan saya untuk sentiasa mengharap dan berdoa kepada Allah. Lambat laun jika seorang hamba yang sabar dalam berdoa dan terus berdoa pasti Allah mengabulkan apa sahaja yang diminta. Sebagai seorang hamba yang beriman, biarlah permintaan itu ada hadnya dan tidak melampaui batas.
Menginsafi perjalanan umrah kali ini, benar-benar memberikan saya satu keyakinan yang jitu dan padu. Berbekalkan doa yang berpanjangan, saya, suami dan anak perempuan dapat menjejakkan kaki di bumi Madinah dan Makkah. Tiada ucapan yang dapat dilafazkan hanyalah gerakan hati mengukir rasa syukur yang berpanjangan. Allahu Akbar. Allah Maha Besar.
Bermula tiba di Masjid Nabawi, singgah di raudhah dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar dan dan Saidina Umar Al Khatab. Ya Allah, terima kasih Tuhan atas segala nikmat dan rahmat yang telah Engkau kurniakan kepada kami. Walaupun setiap kali mengunjunginya bagaikan berhempas pulas bersesak-sesak dengan orang ramai, namun sempat juga untuk terus berdoa dan melakukan solat sunat di raudah. Alhamdulillah.
Ternyata di bumi yang luas ini, saya insan kerdil yang masih dipanjangkan nyawa oleh Allah untuk mencium batu syurga di Hajarul Aswad. Berdoa di multazam, makam ibrahim, solat sunat di Hijir Ismail dan lain-lainnya. Kala tekak kehausan berhempas pulas dengan asakan padu manusia sejagat, air zam-zam pembasah tekak, penyelamat di dalam suasana yang begitu.
Maka saya bertanya pada diri sendiri? Nikmat Tuhan mana satukah yang kamu dustakan?
Lantas tiada apa lagi yang mampu saya lakukan. Cuma sujud syukur mengakui kebesaran Allah. Diiringi dengan air mata taubat, air mata penyesalan atas dosa-dosa silam. Harap taubat ini diterima Allah. Harap umrah ini umrah yang maqbullah - umrah yang diterima Allah.
Kesannya dapat membaiki dan meningkatkan diri sendiri. Kesannya akhlak yang baik sesama manusia, malu serta takut untuk melakukan sebarang dosa. Allah itu sentiasa ada dan sentiasa melihat perbuatan hamba-Nya.
Ya Allah, terimalah umrahku. Bersihkan hatiku. Matikanlah aku dalam keadaan yang baik. Amin ya Allah.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan