"Hidup mesti diteruskan dengan daya juang yang bersungguh-sungguh." Zuhriah Mohamad Juoi.
Isnin, Oktober 15, 2012
UMRAH ANDALUSIA.
Bertemu dengan Ustazah Normala selaku pembimbing umrah di tanah suci nanti. Ustazah memberikan beg-beg untuk jemaah umrah yang akan pergi pada 01 Mac 2013 nanti. Adui...mak. Masya Allah dan Alhamdulillah. Beg kecil, sederhana dan besar. Waa..memang latihan untuk menunaikan haji nanti. (harap ada rezeki dan dimudahkan Allah pada masa akan datang).
Sekarang masih dikurniakan rezeki untuk melakukan umrah sahaja. Itupun beribu kesyukuran yang berpanjangan, yang tidak mampu saya lafazkan. Rasa hati yang gembira dan langkah untuk saya lebih membaiki diri. Harapan saya moga Allah mengampunkan dosa-dosa yang lalu, kini dan masa-masa akan datang.
Saya merenung akhlak Rasulullah s.a.w yang terpelihara dari melakukan dosa, baginda masih setia dan taat untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah. Apa lagi diri ini yang serba lemah dan serba serbi kekurangan ini. Sepatutnya mesti bersungguh-sungguh dalam meneladani akhlak Rasulullah s.a.w.
"Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku. Dan permudahkan kembara ini. Ya Allah damaikan hati ini untuk meninggalkan anak-anak. Jauhi musibah dan peliharalah mereka. Andainya aku sangat menyayangi mereka, kasih sayang-Mu melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Anak-anakku, ummi tetap berdoa agar suatu hari nanti, anak-anak dapat menunaikan umrah. Ya Allah, bantu kami dan mudahkan urusan kami. "
Andainya memang rezeki saya untuk melakukan umrah sekali lagi, saya berdoa kepada Allah agar dimudahkan segalanya. Berilah kekuatan di segi rohani dan jasmani untuk saya membantu pula saudara mara dan teman-teman jemaah masjid yang memberi kepercayaan, untuk bersama-sama mengikuti rombongan jemaah umrah ini.
Ya Allah
ampunkan dosa-dosaku
dan malu sendiri
Hati menginginkan kebaikan
tapi nafsu selalu
melulu dan tersasar
hati inginkan kebaikan
tapi tidak
dengan amal ibadah
tewas dan lemah
jiwaku lesu
aku merintih pilu
penuh kesal dan sesal
Ya Allah
berilah aku sekeping hati
yang kuat bermujahadah
tiada dicemari oleh
debu kekotoran hati
Ya Allah berilah
aku sekeping hati
yang sentiasa
merindui kasih sayang-Mu
rajin dan berjaya
untuk tunduk patuhku
sebagai seorang hamba.
Hamba yang dhaif,
Zuhriah Mohamad Juoi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan