Isnin, September 17, 2012

Kasih Sayang - USIA YANG BERTAMBAH.


Assalamualaikum.
Puji syukur kepada Tuhan semesta alam. Selawat dan salam kita hadiahkan kepada Rasulullah s.a.w, untuk keluarganya dan para sahabatnya. 

Pembaca yang budiman, 
Pertamanya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat ibu yang dikasihi Hajah Khadijah Wok yang telah melahirkan saya pada tanggal 14 September 1964 yang lalu. Kasih ibu sentiasa bersemarak di sanubari dan pengorbanan yang dilakukan kepada kami adik beradik memang tidak terbalas oleh kami. 

Mungkin ibu tidak berkesempatan membaca blog ini, sebagaimana ibu suka membaca buku tulisan anak-anaknya, namun pada ibu kupanjatkan doa yang berpanjangan. Kasih ibu kepada seorang anak memang jelas terbukti, begitu jugalah kasih seorang anak terhadap ibunya. Harapan saya, agar saya tahu dan sentiasa ingat untuk mengenang jasa ke dua ibu bapa.  

Keduanya, kepada teman-teman muka buku, saudara mara, teman-teman di sekeliling dan semuanya; yang telah mengucapkan Selamat Hari Lahir dan mendoakan segala yang baik dan positif belaka. Saya hargai semuanya, dan tersemat doa di hati ini, moga Allah akan membalas dengan yang lebih baik lagi untuk anda sekalian. 



Di sudut hati, terasa sayu juga tanpa anak-anak di sisi, namun Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, anak-anak saudara yang ramai, masih di sisi untuk sama-sama meraikan hari tersebut. Tidak ketinggalan juga teman-teman sekeliling yang turut meraikannya. Sedikit terubat dan tiada kesunyian yang menyelubungi diri. Alhamdulillah. 

Menyurut kembali umur yang masih dipinjamkan Allah ini,  ia sebenarnya tidak lama dari beberapa detik jarum jam. Hidup tidak lebih dari sekadar kumpulan siang dan malam. Hidup sesungguhnya adalah waktu. Waktu lebih mahal dari emas dan perak. Waktu lebih berharga dari nama yang masyhur dan jawatan yang tinggi. 

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara sia-sia (saja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?" (Surah al-Mukminun  115)   
  
Wahai diri, peringatan buat dirimu. Bila usia semakin bertambah bererti semakin hampir kepada kematian. Manfaatkan sisa-sisa waktu yang ada untuk bersiap-siap menghadapi perjanjian Tuhanmu. Penuhi waktu untuk mengabdikan dirimu menjadi khalifah Allah yang terbaik.  

Ribuan terima kasih dan salam kasih sayang,
Di kelilingi anak-anak saudara yang dikasihi. 
    

Tiada ulasan: