Syawal 1433H telah berlalu. Ramadan juga telah berlalu. Namun begitu keindahan madrasah Ramadan tetap terpahat di dalam hati. Sebulan dilatih bangun sahur, solat tahajud, mengaji al-Quran, berlapar, bersedekah, bersilaturahim, mendengar kuliah subuh dan sebagainya. Kita kembali kepada fitrah diri. Iaitu suka kepada kebaikan dan benci kejahatan. Berlalunya Ramadan, sebenarnya ia memberikan suatu kekuatan pada diri untuk meneruskan kehidupan dengan menjadi lebih peka kepada perintah Allah.
Menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi pada setiap hari pada setiap bulan. Ia memberi motivasi diri yang cukup bertenaga untuk menghadapi hari-hari yang mendatang dengan pergantungan yang kuat dan penyerahan total hanya kepada Allah SWT.
Andainya sesuatu yang dilakukan bukan kerana Allah, maka akan sia-sialah amal tersebut. Tetapi niat yang baik dan dilakukan semata-mata kerana Allah, pasti ia menjadi mudah dan diberkati Allah.
Itulah sifir yang mudah bagi saya. Setiap pekerjaan biarlah dilakukan kerana Allah dan Allah itu Maha Mengetahui apa yang terdetik di hati setiap manusia. Adakalanya perasaan kecewa menyelinap atau terselit di dalam diri. Ingin saya buang jauh-jauh perasaan itu. Biarlah reda dan pasrah menjadi gantinya. Itulah pahala mujahadah yang dapat saya raih. Yang penting diri sendiri. Bersihkan hati dan Allah membantu setiap pekerjaan yang dilakukan untuk mencari keredaan Allah.
Tidak ada masa untuk menyingkap tabir keaiban orang lain, dosa sendiripun mungkin tidak terpikul oleh saya. Sejujurnya ingin saya katakan saya ingin kembali ke dunia sendiri. Saya akan menumpukan sepenuhnya terhadap keluarga, bidang penulisan, kelas pengajian, perniagaan ZMJ IQRA TRAINING dan membantu amal kebajikan masjid.
"Ya Allah, hati ini milik-Mu ya Allah. Bantulah hambamu ini untuk selalu dan terus mendekatkan diri kepadamu ya Allah. Janganlah aku dilalaikan dengan urusan dunia yang tiada kesudahan ini, dan pimpinlah hati ini untuk sentiasa berada dalam reda-Mu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan