Begitulah motivasi diri yang cuba saya terapkan dalam keluarga. Semuanya perlu cepat dan pantas. Motivasi ini saya perolehi setelah menunaikan umrah pada tahun 2011. Di bumi Madinah dan Makkah, umat Islam dilatih untuk memiliki kekuatan fizikal dan mental. Menghargai masa dan peka menjaga waktu solat. Beribadah hanya kerana Allah. Bila azan berkumandang sahaja, jutaan manusia meninggalkan apa sahaja pekerjaan yang sedang dilakukan untuk bersegera menunaikan solat. Berduyun-duyun manusia menuju masjid.
Ada ketikanya jika saya dilanda penyakit ingin bermalas-malas dalam ibadah, segera saya ingatkan betapa banyaknya nikmat yang telah Allah berikan kepada hambanya, dan saya menjadi malu sendiri untuk tidak bersegera menunaikan perintah Allah terutamanya bab solat lima waktu.
Anak lelaki bergegas menghidupkan enjin, setelah semua masuk ke dalam kereta kami menuju masjid. Penuh ceria dan gembira . Di dalam hati dilatih untuk sentiasa ingat pada Allah, ingat pada suruhan dan ingat pada larangan-Nya.
Setelah menunaikan solat subuh, bersempatan untuk mendengar tafsir al-Quran yang disampaikan oleh Imam. Minda menjadi segar dan bercahaya setelah disirami dengan ayat-ayat al-Quran. Pesanan Rasulullah saya pasak sungguh-sungguh dalam diri;
"Dua perkara yang akan aku tinggalkan kepada kamu sekalian jika kamu semua berpegang dengannya pasti tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah (al-Quran) dan sunnahku (syariat dan akidah).
Sempena 17 Ramadan ini saya kembali merenung diri, sudahkah saya benar-benar membaca dan memahami tuntutan-tuntutan al-Quran? Atau sekadar lancar membaca tetapi tidak tahu maknanya, takut-takut menjadi golongan orang yang membaca al-Quran tetapi mendapat laknatnya pula. Jauhkan...ya Allah.
Ayat pertama yang Allah turunkan Iqra - bacalah...akan menjadi panduan untuk saya terus berusaha menambah ilmu pengetahuan, membaca, memahami, amalkan dan perjuangkan hingga ke akhir hayat. Mudahkan dan bantulah...ya Allah.
Waktu Dhuha,
17 Ramadan 1433H.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan