Rasa gembira bila dapat mencatat sesuatu di blog ini. Lama kelamaan saya semakin mesra dan seronok menulis. Menulis apa sahaja yang terlintas, agar manfaatnya dapat dikongsi bersama. Esok saya akan berangkat ke Ipoh untuk menziarahi ayahanda dan bonda tercinta, di samping sedikit urusan keluarga. Esoknya pula akan berangkat pula ke Pulau Pinang dan juga sedikit urusan keluarga. Harap-harap perjalanan dimudahkan oleh Allah kerana niat yang baik untuk bersilaturahim dan mendekatkan hubungan kekeluargaan. Dan memandang wajah ibu bapa juga diberikan pahala dan dimurahkan rezeki.
Selepas itu perlu pula bergegas pulang ke Kuala Lumpur untuk menguruskan keperluan anak-anak dan mereka akan pulang ke asrama masing-masing. Kesempatan dapat berkumpul dengan anak-anak akan saya gunakan dengan sebaik-baiknya. Solat jemaah, makan bersama dan mendengar apa sahaja luahan hati anak-anak yang sedang meningkat remaja dan dewasa sekarang. Pelajaran? Hubungan sesama rakan? Kewangan? Keperluan? Apa-apa sahaja...saya cuba menjadi pendengar yang baik dan bersikap terbuka terhadap anak-anak. Saya juga perlu menyedari anak-anak bukannya kecil lagi...mereka berhak untuk berkata dan meluahkan pendapat. Moga Allah membimbing saya untuk menjadi ibu yang memahami dan dapat membimbing anak-anak untuk sama-sama mencari jalan-jalan yang diredai Allah. Insya Allah.
Sempena menyambut keputeraan Rasulullah s.a.w, pastinya terlebih baik untuk menyegarkan minda untuk mengambil baginda sebagai contoh yang baik dalam membina keluarga yang bahagia di dunia dan di akhirat. Masa dan kesempatan sempena Mauludir Rasul ini akan menambahkan kegembiraan sebab selaku umat Islam kita tidak perlu lagi tercari-cari role model dalam kehidupan ini. Sirah Rasulullah s.a.w tersedia untuk kita menerokai melalui pembacaan dan juga diamalkan melalui tindakan kita dalam kehidupan seharian. Agar keindahan Islam itu dapat kita rasai sepenuhnya sebagai hamba Allah yang ingin melahirkan ketaatan dan kepatuhan kepada-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan