Assalamualaikum;
Pembaca yang budiman;
Agak lama tidak menulis di blog ini. Rindu rasanya. Jika masa yang singkat, kesempatan itu saya gunakan untuk membuat sedikit catatan di facebook. Jika waktu agak tenang dan santai, barulah saya gemar menulis di blog. Tidak tergesa-gesa dan agak lebih tersusun. Maklumlah menulis di blog, tidak seperti menulis di buku. Buku-buku saya yang menjadi tatapan pembaca sudah disemak oleh Editor. Tetapi di blog, semuanya terus kepada pembaca.
Apa yang ingin saya tuliskan di sini? Oh..ya! Baru ini saya berpeluang untuk singgah di Karnival Karangkraf. Saya berkesempatan berada di sana sekejap sahaja (selepasnya perlu menghantar anak pulang ke asrama). Tetapi pada saya ia penuh bermakna dalam kehidupan ini. Saya dapat menemui pembaca yang bersusah payah datang dan menempoh kesesakan orang ramai di karnival tersebut. Apa lagi bila hendak membayar, terpaksa menunggu lama dan berbaris panjang.
Buat pembaca yang sudah mendapat tanda tangan saya, saya ucapkan ribuan terima kasih. Besar harapan saya agar pembaca yang budiman mendapat sesuatu yang bermanfaat hasil membaca buku-buku tersebut. Selalunya saya menggunakan pen berdakwat pink untuk sama warna dengan kulit buku TERIMA KASIH TUHAN...yang berwarna pink itu.
Saya juga berbesar hati bila dapat bertemu dengan pembaca dan kita saling kenal dan berbual. Walaupun sangat singkat, tetapi itulah kegembiraan saya. Satu pengalaman yang sangat memberikan saya inspirasi untuk terus menulis agar buah fikiran saya dapat dimanfaat dan dikongsi bersama untuk kita meraih kebaikan dan kejayaan. Usah jemu untuk terus mengejar kegemilangan hidup, selagi Allah memberikan ruang dan peluang sebuah kehidupan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan