Ahad, Mei 28, 2017

RAMADHAN 1438H.


Assalamualaikum.
Jiwa yang suka menulis, pasti merindui untuk menulis. Begitulah diri saya. Sering merindui waktu-waktu untuk menumpukan kerja-kerja penulisan. 

Waktu-waktu yang ada dipenuhi dengan membimbing masyarakat mengaji Quran. Semakin mendekati masyarakat, semakin ramai saya menemui anak-anak yang tidak pandai mengaji. Rasa kasihan yang mendalam bila mengetahui di luar sana masih ramai yang tidak mengenali huruf-huruf al-Quran.

Dakwah saya tidak sejauh untuk menyeru orang bukan Islam agar memeluk Islam, anak-anak yang beragama Islam pun masih tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Masih ramai yang agamanya Islam, tetapi sejauh mana untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup? 

Saya berfikir, teramat malang kita sebagai umat Islam tetapi tidak benar-benar merebut kejayaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang ditunjukkan dalam al-Quran. 

Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca teks Arabnya sahaja, tetapi lebih bererti jika kita memahami makna dan tuntutan amalan yang perlu dilakukan sebagai seorang Islam yang beriman. 

Mari kita membaca dan beramal dengan apa yang telah ditunjukkan oleh al-Quran. Hidup berpandukan al-Quran.