Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w, para sahabat dan keluarga baginda.
Ketika saya menulis ini, sambil menikmati dendangan nasyid UNTUKMU YA RASULULLAH - Hadhrah Matin - Kumpulan Qasidah Ma'had Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN). Alhamdulillah, agak lega bila mendengar alunan nasyid yang mengingatkan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Sungguh, saya rasa tenang mendengarnya.
'Ujian Allah', begitulah tajuk yang ingin saya tulis pada hari ini. Setiap manusia tidak akan lari daripada menghadapi ujian-ujian dalam kehidupan ini. Pastinya bila dikatakan ujian, ia sesuatu yang kadang kala sangat menekan jiwa dan mengugat perasaan.
Ujian selalunya datang tanpa kita minta dan rancang. Tiba-tiba sahaja kita sudah terjebak dalam kemelut yang sangat menguji kesabaran. Kesabaran untuk bertenang dan berfikir serta mencari jalan keluar ke arah penyelesaian.
Alhamdulillah, ketika semuanya nampak buntu dan berserabut fitrah hati kembali untuk mengadu kepada Allah dengan melakukan solat. Kala sujud memuji kebesaran Allah, segala kelam kabut yang dirasai itu telah menjadi aman dan perasaan menjadi lega. Alhamdulillah.