Assalamualaikum.
Salam sejahtera buat pembaca yang budiman.
Agak lama tidak menulis di blog ini. Memang terasa rindu yang mendalam. Terasa ada sesuatu yang perlu saya nukilkan agar ia tidak terpendam begitu sahaja.
Lantaran saya tidak tahu di mana kesibukan yang ada? Cuma penekanan yang boleh dikatakan, saya tidak begitu teliti mengatur masa. Masa yang sungguh berharga dalam hidup ini. Peredaran malam dan siang. Hujan, mendung dan cerah yang silih berganti. Semuanya dikira masa yang bertambah dan usia yang semakin berkurangan.
Dalam kehidupan yang dilalui, sungguh terasa perit dan sakit yang mendalam. Di celahnya masih lagi bersilih ganti kegembiraan dan peluang untuk bersama keluarga dan masyarakat. Mesti syukur itu dipanjatkan agar berpanjangan. Sedar semuanya ada pencatur iaitu Allah SWT.
Allah Maha Besar, Allah Maha Mengetahui, Allah Maha Kuasa dan semua Asmaul Husna yang lain. Akurlah sebagai hamba kepada Allah yang Maha Pencipta.
Indahnya hidup ini jika hati dikembalikan kepada rasa fitrah. Mendalami al-Quran akan terasa indah dan ada rasa ketenteraman yang cukup mendamaikan, sebab ketika membaca dan meneliti makna-makna al-Quran hati dikembalikan kepada fitrah.
Fitrah hati suka kepada kebaikan dan benci kepada sesuatu yang jahat, sesuatu yang mungkar dan semua perbuatan dosa. Berhati-hatilah dengan dosa, kerana dosa boleh menggelapkan hati. Bila hati sering kegelapan atau rosak, susah untuk mendapat cahaya petunjuk kebenaran.
Dalam kehidupan yang sentiasa melalaikan ini, nafsu dan syaitan sangat mudah untuk menerobos ke dalam hati. Hanya dengan kesedaran untuk kembali kepada fitrah, manusia akan kembali untuk berjuang mendapat dan mendekatkan diri kepada cahaya petunjuk yang terdapat di dalam al-Quran.
Hiasilah dirimu dengan kembali kepada al-Quran. Ingatlah bila mengejar akhirat, tanpa disedari dunia akan berada di dalam genggaman. Bila mengejar dunia, akhirat belum tentu terikut sama. Justeru tumpukan bekalan untuk dibawa ke akhirat, pastinya urusan duniamu akan menjadi mudah. Di situ ada pertolongan Allah, selangkah kita mendekat kepada Allah, beribu langkah Allah mendekatkan diri-Nya kepada kita.
Moga taubatku sentiasa ada, kerana Allah menyukai mereka yang bertaubat dari melakukan dosa.
Terima kasih ya Allah, di dalam seribu kegelutan hidup, masih cahaya kebenaran iman dan Islam menerangi hidup ini.