Assalamualaikum - Salam Sejahtera.
Pembaca yang dirahmati Allah.
Apa yang kita rancang tidak semestinya itu yang berlaku. Saya akur dengan apa sahaja yang menjadi ujian buat diri. Begitu juga dalam dunia penulisan, ia tidak menjanjikan bulan dan bintang. Namun saya tekuni ia kerana minat dan banyak belajar dari kesilapan yang sering saya lakukan.
Alhamdulillah, segala ujian atau pahit getir yang dilalui tidak menyebabkan saya mudah kecewa. Malahan saya terus belajar dan mencungkil hikmah di sebalik setiap sesuatu yang telah ditakdirkan Allah.
Bila menulis adakalanya kepala sangat berserabut dengan idea, lantas saya hanya menulis idea tersebut. Tetapi pengalaman mengingatkan, dengan hanya mengikut idea atau ilham yang ada belum menjanjikan suatu bentuk penulisan yang bagus. Ia mesti disesuaikan tajuk dan digarap menjadi satu.
Ertinya isi-isi yang ingin disampaikan tidak boleh melompat-lompat. Ia hendaklah disusun dengan teratur agar pembaca mudah memahami apa yang hendak kita sampaikan dalam buku tersebut.
Menulis buku yang ke empat ini, benar-benar menyebabkan saya berfikir dan terus berfikir, untuk menulis dengan lebih teratur bila melakar peta minda untuk sebuah tajuk buku. Ia tidak boleh menulis hanya mengikut idea yang ada, tetapi mestilah disusun dengan kreatif terlebih dahulu.
Bila kita belajar satu persatu, insya Allah gaya penulisan akan terserlah dan hasilnya akan dinilai oleh oleh pihak penerbit, layakkah buku tersebut diterbitkan?
Berkali-kali saya mengatakan, saya memang suka menulis. Justeru alhamdulillah segala ujian yang datang, tidak pernah menyebabkan saya mengundur ke belakang. Saya teruskan juga menulis walaupun pelbagai halangan yang datang. Kadang saya sangat merindui masa-masa santai dan masa yang sesuai untuk menulis.
Namun, saya juga banyak komitmen lain yang perlu saya lalui. Kelas-kelas pengajian al-Quran yang telah tersusun jadualnya mesti juga saya penuhi dan urusan rumah tangga yang tidak pernah selesai itu.
Saya merenung kembali, untuk menyelesaikan masalah, saya mesti memiliki kebijaksanaan mengatur jadual kehidupan. Terlebih penting lagi memohon dan berdoa kepada pertolongan Allah jua. Jika Allah ingin memudahkannya, insya-Allah, Allah akan memberi laluan dan menunjukkan jalan-jalan tersebut.
Ya Allah, ampunkan aku dan mudahkan segala urusan kehidupanku!
Pada-Mu jua aku memohon pertolongan.
Menjelang berbuka,
22 Ramadhan 1436H.
