Selasa, Mac 10, 2015

RICH WOMAN - KIM KIYOSAKI

Assalamualaikum wrt. 
Hari ini saya ingin menambah pengetahuan di segi pelaburan kewangan. Buku yang saya terpandang dan menjadi pilihan kali ini ialah Rich Woman - tulisan Kim Kiyosaki. Buku ini saya ternampak di Popular, Bandar Utama. Saya ingin sekali mengetahui isi-isi buku tersebut, alhamdulillah, saya telah selamat menghadamnya.  

Membacanya saya hanya mengambil beberapa hari sahaja, tandanya buku ini sangat seronok dan menyegarkan minda, untuk tidak segan silu dalam membicarakan soal kewangan dan pelaburan mana yang menarik dan menjadi pilihan. 

Ilmu pelaburan yang didedahkan membantu untuk menjadikan seorang wanita yang celik mengurus wang dan menceburkan diri dalam bidang pelaburan. Wanita tidaklah hanya dikenali sebagai pandai menghabiskan duit, tetapi wanita yang pandai menguruskan kewangan untuk menghasilkan pendapatan yang pasif.     

Usah mudah mengatakan kewangan dan pelaburan bukan bidang kita, tetapi belajarlah mengenainya.Semuanya berkenaan perubahan pemikiran. Set minda hendaklah diubah. Perubahan ini bermula dengan diri sendiri dan lakukannya sekarang. 

Dalam buku yang sebanyak 356 mukasurat ini, menyebabkan saya berfikir dan bersungguh-sungguh mahu menambah ilmu tentang kewangan dan pelaburan. Paling tidak dapat saya lupakan ialah kata-kata:

"Kapal yang ditambat di pelabuhan memang selamat, tetapi bukan itu tujuan kapal dibina."  

Kita perlu memulakan pecutan sekarang, agar kita tidak akan terlepas makna sebenar kehidupan. Moga saya mengingati poin-poin penting dalam buku ini untuk bijak dalam menambah ilmu pengetahuan tentang penghasilan kewangan sendiri!