Khamis, Julai 10, 2014

MEMULIAKAN AL-QURAN.

Al Quran untuk dibaca dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Bukan untuk disimpan atau sekadar menjadi perhiasan. Peringatan buat diri saya. 

Assalam, 
Di bulan Ramadan yang mulia ini, memberikan saya satu semangat untuk terus membantu pihak masjid dalam menyemak bacaan mengaji kumpulan tadarus al-Quran. Semangat saya untuk melihat manusia kembali rajin membaca al-Quran. Al-Quran bukan hanya dibaca pada bulan Ramadan atau bila ada kematian. Ia perlu dibaca setiap hari dan sepanjang hayat. 

Usah terkejut jika ada manusia yang sudah tidak mengenali huruf-huruf al-Quran, apalagi untuk membaca. Hatta untuk membaca al-Quran terjemahan dan tafsir al-Quran pun manusia takut. Mengapa ini yang terjadi buat umat akhir zaman ini. Sampai begitu sekali manusia dijauhkan atau terlalai dengan keutamaan untuk membaca al-Quran pada hari ini. 

Patutlah umat Islam (segelintirnya) makin jauh dan menjadi jahil untuk mencintai agama dan melaksanakan hukum-hukum yang terdapat di dalamnya. Sebab tidak mahu bersungguh untuk belajar al-Quran dan memahami dan beramal dengan apa yang terdapat di dalamnya.  

Pengalaman meninjau masyarakat kampung, sama ada yang tua pun tidak tahu membaca dan yang kecil pun tidak tahu membaca. Rasa macam bersalah jika mendengar orang membaca al-Quran yang tidak disebut dengan betul dan tidak tentu arah panjang pendeknya. Mereka tidak memberikan penekanan yang serius untuk membaca al-Quran dengan betul, sebab itu masalah begini timbul. Kesedaran ke arah itu tidak ada. 
   
Aduh! 

Bagaimana nanti bila ditanya oleh Allah di akhirat kelak, umurmu telah meningkat dewasa dan tua, tetapi mengapa tidak boleh membaca al-Quran dengan betul? 

Mengapa tidak mengamalkan perintah-perintah Allah yang terdapat di dalamnya? Mengapa kamu tidak belajar menuntut ilmu al-Quran, bagaimana umurmu dihabiskan sehingga tidak sempat kamu belajar al-Quran semasa di dunia dahulu? 

Sebelum terlambat, marilah kita kembali dengan belajar al-Quran dan memuliakannya. 

Wassalam.