Judul: Membentuk Syurga Rumahtangga - Untuk Bacaan Suami dan Isteri
Penulis: Zuhriah Mohamad JuoiHarga: RM9
Penerbit: Karya Bestari
RUMAH TANGGA boleh menjadi `syurga' yang diidam-idamkan tetapi ia juga boleh menjadi `neraka' yang ditakuti.
Semuanya bergantung atas dasar apa rumah tangga itu dibentuk. Jika dibentuk atas dasar kebendaan sahaja, ia boleh menyediakan nikmat untuk dikecapi tetapi kebahagiaan sebenar lagi hakiki tidak akan ditemui. Andainya ia dibentuk berdasarkan keimanan terhadap Allah s.w.t. rumah tangga akan menjadi sejuk untuk didiami.
Setiap pasangan yang melangkah ke alam perkahwinan pasti menginginkan sebuah rumah tangga yang penuh kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian. Mereka ingin menjadikan rumah tangga itu sebagai syurga dunia yang menenangkan jiwa.
Memiliki rumah tangga yang bahagia sememangnya menjadi idaman setiap insan. Keluarga yang bahagia bukan sahaja memberi kedamaian hidup, malahan merupakan aset penting dalam membina sebuah masyarakat yang cemerlang.
Islam adalah agama yang menjamin kebahagiaan hidup setiap manusia, termasuk dalam berumah tangga. Kebahagiaan rumah tangga akan dicapai setelah memenuhi ciri-ciri tertentu sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
Demikian, sedikit kesimpulan yang boleh dibuat terhadap buku ini. Ia sebuah buku yang penting untuk dihayati apalagi dalam menempuh kehidupan berumah tangga pada zaman mutakhir ini. Tanpa kefahaman yang bersungguh-sungguh terhadap tuntutan hidup berkelamin sebagaimana yang dikehendaki oleh agama, sesebuah rumah tangga itu ibarat diterangi oleh hanya sebatang lilin yang kurus lagi pendek. Habis batangnya, padamlah lilin itu dan bergelaplah seluruh isi rumah.
Menurut penulis buku ini, bagi mencapai kebahagiaan hidup, ia bermula dari kehidupan berkeluarga. Bermula dari ibu bapa untuk membentuk anak-anak, seterusnya melahirkan rumah tangga yang cemerlang.
Justeru, penyusunan buku ini dilakukan sebagai usaha untuk membantu para suami atau isteri membentuk keluarga cemerlang. Ilmu-ilmu yang terdapat di dalamnya, sebanyak sedikit dapat membantu dan menyuluh untuk membina keluarga yang berbahagia di dunia dan insya-Allah berbahagia di akhirat. - TUAH ISKANDAR