Beberapa hari yang lalu saya diasak dengan kehadiran adik beradik yang berkunjung ke rumah. Almaklumlah emak sekarang tinggal dengan saya. Jadinya ramai yang datang berkumpul di rumah. Begitulah hari-hari yang saya lalui bersama emak, sejak almarhum bapa meninggalkan kami pada 1 Ramadan tahun lalu.
Ingin saya ceritakan sedikit pengalaman betapa berkatnya menjaga emak. Rezeki bagaikan mencurah-curah datang kepada kami sekeluarga. Adakalanya saya tidak menyangka ada-ada sahaja habuan untuk kami, rezeki begitu mudah Allah turunkan. Agaknya disitulah keberkatannya... menjaga emak. Alhamdulillah...
Janji saya pada diri;
"Akan saya bahagiakan emak, selagi saya hidup dan selagi nyawa dikandung badan". Insya Allah.
Bila diri diulit dengan kesibukan masa, sekejap ke sana dan ke sini, saya kehilangan seketika fokus untuk menulis. Namun, jiwa menulis itu sentiasa segar dalam diri. Sebagaimana saya katakan sebelum ini, jiwa menjadi resah dan gelisah bila tidak menulis sesuatu.
Bila ada sahaja kesempatan saya akan terus melakukan sesuatu yang saya rasakan ia telah sebati dalam diri. Menulislah..., agar ada sesuatu yang saya rasakan telah memenuhi sanubari saya. Masya Allah! Semoga Allah memimpin hati dan akal ini ke arah sesuatu yang mendapat reda-Nya. Insya Allah.
Kadang jauh saya berfikir menjadi seorang penulis bukan mudah. Cumanya....kegemaran saya memang menulis. Itulah kesukaan saya di waktu sedih dan juga di waktu gembira.
Secara jujurnya saya sedang menyiapkan lagi satu manuskrip buku. Tetapi begitulah jadinya...sekejap berhenti...sekejap menulis...sekejap berhenti...sekejap menulis....tiada fokus.
Melalui pengalaman menyiapkan manuskrip buku-buku saya sebelum ini, kerja-kerja menulis perlu kepada tumpuan dan usaha yang berterusan. Tiada jemu dan bosan. Hadapi halangan dengan minda yang kreatif, mencari jalan penyelesaian. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Buat pembaca yang budiman, sudi-sudikan berdoa untuk saya menyiapkan manuskrip buku yang seterusnya dan berjaya diterbitkan. Insya Allah.