Rabu, Mac 05, 2014

PERKUBURAN BAQI' - MADINAH.


Seusainya pulang dari masjid menemani emak bersolat berjemaah maghrib dan isya' di masjid, tiba-tiba teringat akan indahnya suasana ketika menziarahi tanah perkuburan Baqi' di Madinah.

Malam ini, saya terkenang akan keindahan dan seronoknya menikmati suasana perkuburan Baqi'. Bagaikan terasa semangat perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda, ia seakan-akan menjadi dekat dalam diri; 

Secebis cuma, ingin saya nukilkan pengalaman yang pernah dilalui melalui blog ini; 

Ketika itu, kami sedang berkumpul di dataran Masjid Nabawi untuk program lawatan ke tanah perkuburan Baqi' - Madinah. Sementara menunggu mutawif umrah iaitu Ustaz Abdul Halim tiba, kami berkenal-kenalan sesama jemaah umrah. Tidak lama kemudian Ustaz Halim pun tiba; 

"Assalamualaikum, dah lama tunggu?" Sapa Ustaz Halim. 

"Boleh tahan jugalah...sesama kami pun dah sempat untuk berbual mesra ni.." Sahut jemaah wanita yang lain. 

"Mari kita pergi." 

Kami sesama jemaah wanita berjalan mengikuti Ustaz Halim menuju ke perkuburan Baqi'. Kami hanya dapat melihat dari jauh, melalui pagar besi serta tembok putih yang menjadi sempadan tanah perkuburan tersebut. Wanita tidak dibenarkan masuk, hanya boleh melihat dari jauh.  

Melalui pagar besi itulah Ustaz Halim menunjukkan perkuburan Saidina Uthman al-Affan, isteri-isteri Rasulullah s.a.w, putera-puteri Rasulullah s.a.w dan sebahagian besar para sahabat yang dikebumikan di sini.    

Tanpa mahu mengulas panjang, saya menjadi manusia yang bersyukur di atas nikmat Allah yang telah mengizinkan saya sampai ke tanah perkuburan Baqi' ini, sekurang-kurang saya menanam impian untuk mengikuti jejak orang-orang yang beriman dan mereka yang syahid di jalan Allah.