Sejenak mengimbau masa-masa yang telah lalu, dan insya Allah kita direzekikan Allah merangka masa-masa akan datang. Sejauh meneruskan perjalanan dalam kehidupan ini, adakalanya kita berhenti seketika untuk meneliti pada perkara-perkara biasa yang kita lakukan setiap hari, selepas itu kita akan melakukan pecutan semula agar perjalanan lebih lancar dan tidak ada istilah 'tersekat'.
Kadang terlalu sibuk menguruskan pekerjaan seharian, hinggakan urusan solat dipandang remeh dan ringan sahaja. Menunaikan solat hanya dihujung-hujung waktu, itupun dilakukan secara malas dan sambil lewa sahaja. Tahu-tahu sudah memberi salam dan kain telekung serta sejadah dilipat sesegera mungkin.
Justeru tidak hairanlah ibadah solat itu tidak memberikan kesan pada peribadi. Masih mengumpat, tidak sensitif dengan dosa, hati berkarat dengan sifat-sifat yang keji dan hidup dalam resah gelisah. Susah untuk menerima kebenaran dan ego diri yang tidak bertempat terbelenggu dalam diri.
Mungkin di sini eloklah kita menoleh seketika, dan renung-renungkan cara kita menunaikan solat selama ini. Kita bersolat tetapi kita tidak peka dengan apa yang kita lafazkan setiap kali kita membaca ayat-ayat dalam solat. Kita hanya menyebut tanpa memahami apa yang kita baca.
Tidak peliklah rasanya, walaupun kita bersolat tetapi masih tidak mempunyai akhlak atau budi bahasa yang elok. Solat itu tidak menjadi benteng yang ampuh buat diri dan tidak merasai indahnya solat itu. Solat bagaikan dipaksa-paksa untuk melakukannya, tidak terasa seronok dan indahnya solat itu.
Firman Allah:
"Celakalah bagi orang-orang yang menunaikan solat. Iaitu mereka yang lalai daripada menunaikan solat." (Surah al-Ma'un : 4-5)
Marilah kita meneliti semula bagaimana kita melaksanakan solat selama ini. Buka semula buku tentang solat, hadiri kuliah tentang solat dan sama-sama kita menghayati apa yang kita lafazkan atau baca dalam solat. Bermula dari mengambil wuduk sehingga selesai memberi salam, berzikir dan akhirnya kita menadah tangan memanjangkan doa kepada Allah.
Moga Allah mengampunkan dosa-dosa kelalaian yang lalu, berazam untuk terus meningkatkan kualiti amal ibadah di masa akan datang. Insya Allah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan