Khamis, Januari 30, 2014

BESARKAN JIWAMU.

Suatu ketika, di pagi yang hening dan sunyi....maka lahirlah catatan ini;

Rasa-rasa di dalam diri ingin saya terjemahkan dengan menulis. Bagaikan ada resah yang tidak terungkap, rasa-rasa yang tersekat dan terpendam dalam diam. Lantas jari jemari menari rancak mengikut irama kata hati. Ingin berkali-kali berkata dalam diri;

"Orang yang beriman itu tenang mengawal diri, walaupun di kala gembira atau sedih. Segalanya dihadapi dengan memohon Allah memberi yang terbaik untuk dirinya. Walau apapun yang datang dalam hidup, diserahkan semuanya untuk mendapat pertolongan, rahmat dan kasih sayang Tuhan. "

Orang yang memiliki iman yang kukuh, nampak jelas hala mana yang hendak dituju, jalan mana yang hendak dilalui. Tanpa ragu-ragu dia akan melalui jalan-jalan mencari keredaan Allah, walaupun jalan itu terasa pahit dan sakit. Pasti juga dia lalui jalan itu dengan keyakinan bahawa Allah sentiasa ada untuk memohon perlindungan dan pertolongan.         

Dia akan meneruskan perjuangan hingga nokhtah terakhir yang telah tersedia perjanjiannya dengan Tuhan. Ya...memang dunia ini adalah ladang untuk menuju ke negeri akhirat. Di sinilah untuk kita menyediakan bekalan (taqwa) agar pemusafiran ini selamat dunia dan akhirat.      

Rangka dan susunlah hidupmu menjadi seorang yang benar-benar mencintai agamanya - Islam - 

Betulkan niat-niat dan bersihkan hatimu dari sifat-sifat yang keji. Contohi akhlak Rasulullah s.a.w yang sangat baik itu. Justeru dirimu akan menemui jalan yang cukup indah dan cantik sekali, kerana akhlak Rasulullah s.a.w itu adalah seperti al-Quran yang hidup. Apa yang diwahyukan oleh Allah, semuanya diamalkan dalam kehidupan Rasulullah s.a.w.

Hadirkan dirimu dengan kuliah-kuliah agama dengan niat untuk menambahkan ilmu, agar hatimu sentiasa celik untuk sujud dan patuh kepada Allah dan mencontohi perjuangan Rasulullah s.a.w. Di kala dirimu tercari-cari arah kerana di sekelilingmu semuanya mudah terjebak dalam suasana yang melalaikan, ingatlah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. 

Zaman itu mereka diuji lebih teruk dan dahsyat sekali. Masyarakat jahiliah dan hidup kucar kacir, namun mereka memiliki keimanan yang kental dan daya juang yang hebat untuk memperjuangkan Islam. Ingat perjuangan mereka mampu mengalahkan kuasa besar dan musuh-musuh Islam, iaitu Rom dan Parsi ketika itu. Besarkan jiwamu dengan mengingat kembali perjuangan mereka.  

Ingat...ketika dirimu sampai ke Bukit Uhud itu...menziarahi para sahabat yang syahid semasa Peperangan Uhud. Bagaimana keadaan Rasulullah ketika itu? Patah giginya dan baginda mengalami luka-luka dan berdarah badannya. 

Ingat... ketika dirimu sampai di Raudah dan menziarahi makam Rasulullah s.a.w, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab. Lihat pengorbanan Abu Bakar di sisi Rasulullah. Bila ditanya apa lagi yang tinggal padamu wahai Abu Bakar? 

"Tiada apa lagi yang tinggal...yang ada hanya Allah dan Rasul?" 

Ingat...ketika sampai diperkarangan kubur di Baqi - melihat-lihat dari jauh kubur para sahabat r.a dan juga isteri-isteri dan keluarga Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang syahid di perkuburan ini kerana mempertahankan Islam. Kehidupan Saidatina Aisyah dan isteri-isteri baginda yang lain. Kenangkan semasa wafat Rasulullah s.a.w yang berada di pangkuan Saidatina Aisyah. 

Ingat... ketika di perkuburan Ma'la..menziarahi kubur Saidatina Khadijah isteri Rasulullah s.a.w..yang termashyur dengan perjuangan dan pengorbanannya untuk Allah dan Rasul-Nya. 

Dan ingat lagi tempat itu...(dirimu pernah sampai ke situ) tempat di mana penduduk Madinah menyambut kedatangan Rasulullah s.a.w yang berhijrah dari Makkah ke kota Madinah.  Mereka sama-sama menyambut kedatangan Rasulullah s.a.w dengan ungkapan bait-bait nasyid:

"To la al badru alaina ...." 

Bayangkan indahnya kegemilangan Islam ketika itu....

Alhamdulillah, Allah mengizinkan dirimu sampai ke tempat-tempat begitu. Untuk apa? Ia..., Allah izinkan bukan sekadar ziarah semata-mata, tetapi untuk membuka minda dan hatimu agar terus mencintai Islam, agar semangat perjuangan mereka sentiasa hidup dan meresap dalam dirimu. Agar jiwamu hidup dengan semangat perjuangan Islam. 

Seolah-olah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat sentiasa hidup menjadi bayangan yang segar dalam minda, dalam hidup ini. Dan bayangan itu akan dibawa hingga ke liang lahad dan mereka adalah penghuni-penghuni di syurga. Tidak rugi untuk mencontohi dan mengikut jejak mereka yang telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT.     

Allahu Akbar. Allah Maha Besar. 
       

  

Tiada ulasan: