Ahad, Disember 22, 2013

MENUNGAN YANG BERMAKNA.


Subhanallah - Maha Suci Allah dalam penciptaan-Nya pada segala pemandangan yang indah-indah ini.   

Ketika ini saya termenung betapa Allah itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang, saya terdiam dan berfikir. Tidak dapat saya lafazkan apa yang sedang bermain diminda ini. Melainkan terasa betapa Allah itu sangat baik kepada para hamba-Nya. Seringkali saya agak tersasar dan lalai untuk selalu berterima kasih kepada Allah. 

Adakalanya, saya masih bermalas-malas dan leka dengan 'dunia kesibukan' yang direka sendiri. Terlalai untuk sentiasa patuh dan taat kepada semua perintah Allah. Astaghfirullah...mohon ampun kepada Allah.   

Dalam menungan yang lebih membawa makna kali ini, hasrat saya sentiasa ingin mendekatkan diri kepada Allah dan hidup penuh dengan berkasih sayang. Hidup biar sesibuk manapun, perintah Allah tetap ditunaikan terutamanya bab solat dan menjaga akhlak sesama manusia. 

Namun begitu, semakin kesedaran dan keinsafan yang menebal dalam diri, hati makin dibuai-buai dengan bisikan nafsu dan syaitan yang jahat itu. Memang ternyata syaitan itu sentiasa mengajak manusia untuk melakukan kejahatan dan sama-sama tinggal dalam neraka di akhirat kelak. Itulah peranan syaitan untuk terus menggoda manusia agar tidak menjadi baik. 

Kunci untuk melepaskan diri daripada syaitan ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Tunaikan segala perintahnya dan tinggalkan apa sahaja yang telah dilarang oleh Allah kepada manusia. Barulah kita ada kekuatan untuk menangkis godaan nafsu melulu dan syaitan yang direjam.    

   

Tiada ulasan: