Selasa, Jun 04, 2013

NIKMAT ALLAH

Pembaca yang dirahmati Allah, 
Alhamdulillah. Segala pujian hanya ditujukan kepada Allah. Saya mengucapkan ribuan kesyukuran. Saya semakin sihat dari demam. Orang kata tak sihat badan. Bila demam badan serba tidak kena. Baring kiri, rasa tidak selesa. Baring kanan, rasa tidak selesa. Hidung tersumbat. Kepala pening. Badan terasa lemah. 

Saya perlu berehat seketika untuk memulihkan keadaan badan. Sejak akhir-akhir ini, saya mudah mendapat demam. Ia memberi petanda pertahanan badan agak lemah dan tidak kuat untuk menangkis serangan pelbagai virus di sekeliling kita.  

Saya perlu memberi perhatian untuk terus menjaga kesihatan. Bila usia semakin meningkat, bermakna sisa umur tinggal sedikit lagi. Perhatian juga kepada saya, sebelum tiba masa suatu perjanjian yang pasti - kematian. Saya perlu bersedia dan berhati-hati menggunakan masa yang tinggal sedikit ini.       

Syukur berpanjangan, saya dikurniakan dengan anak-anak dan suami yang cukup memahami dan saling berkasih sayang. Mereka menjadi kreatif di dapur, mengemas rumah dan memberikan saya masa yang cukup untuk rehat. 

Prihatin si adik untuk mengejutkan saya sentiasa makan ubat tepat pada masa, mengingatkan waktu solah dan mengurut badan yang terasa lemah. 

Prihatin si abang memasak dan mengemas rumah apa yang patut. 

Prihatin suami untuk memastikan saya cukup rehatnya. 

Saya termenung seorang diri, memikirkan kebaikan dan khidmat yang diberikan oleh mereka yang saya kasihi ini, lantas yang paling layak saya tanyakan ialah;



"Maka yang manakah nikmat Tuhan kamu yang kamu dustakan?" (Surah ar-Rahman : 38).

Dalam surah Ar-Rahman, bermula daripada ayat 13 ini diulang-ulang perkataan ini hingga ke akhir surah.

Ya...renungan buat diri...nikmat Tuhan mana satukah yang hendak saya dustakan?          

Tiada ulasan: