Jumaat, Jun 14, 2013

SEPANJANG JALAN ULU YAM


Tahun 2009,  saya mula menghantar anak bersekolah ke asrama penuh di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor. Jalan yang perlu saya lalui dan cepat sampai - ikut tempat perkelahan Ulu Yam. Mereka yang telah melaui jalan ini, pasti dapat bayangkan bagaimana keadaan ini. 


Jalanraya yang mesti dilalui ke sekolah itu, bengkang bengkok dan   selekoh tajam-tajam. Namun ia tetap digemari oleh ramai pemandu. Mungkin itulah jalan yang dekat dan cepat menuju destinasi. Ada orang suka memandu laju-laju walaupun ditempat yang sempit dan berbahaya.



Ingin saya catatkan beberapa pengalaman melalui kawasan yang dipenuhi dengan kehijauan alam semulajadi itu. Seorang yang mempunyai jiwa penulis akan menulis selagi dia mahu menulis. Apa sahaja.

Situasi 1
Tubuh terasa sedikit dingin dalam suasana yang redup nyaman. Ada sedikit kerisauan yang datang menerpa, apa lagi jika memandu seorang diri di kala jalan sunyi sepi. Perasaan risau datang menerjah bila saya terpaksa melalui jalan ini seorang diri (suami pula tidak dapat menemani kerana ada urusan kerja yang tidak dapat dielakkan).  

Ketika ini, pergantungan kepada Allah terus disemat ke dalam diri agar selamat sampai ke destinasi. Banyakan berselawat dan ingat pada Allah. Hati akan menjadi tenang. Alhamdulillah, akhirnya saya selamat sampai tanpa ada apa-apa yang berlaku di pertengahan jalan.    
     

Situasi 2.
Di tengah perjalanan terdapat air bukit yang cukup popular. Saya katakan begitu kerana setiap kali saya lalu, pasti ada orang yang sedang menadah air. Bertong-tong air bukit berjaya ditadah. Ada kalanya saya  menjadi hairan, tidak kira masa bila pun saya lalu, pasti ada sahaja manusia yang sedang menunggu tong airnya dipenuhi dengan air bukit. Pagi, malam, siang, petang, tengah hari dan seterusnya tanpa berkecuali. 

Kadang terfikir juga...mungkin sebab tidak berbayar, maka manusia tidak melepaskan peluang yang ada. Begitulah rezeki yang Allah berikan kepada manusia. Sejauh mana pula manusia terus bersyukur dengan pelbagai nikmat Allah di muka bumi ini.



Situasi 3. 
Melalui jalan ini ketika waktu petang, terutamanya pada hujung minggu, saya akan teruja dengan kehadiran para remaja - mat motor atau mat rempit. Mereka akan memandu laju dan saling potong memotong, tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri atau orang lain. Apa yang difikirkan hanyalah keseronokan dan kepuasan diri. Mereka akan bergerak dalam kumpulan yang ramai. Adakalanya berpasang-pasangan.   

Suatu hari minggu itu, saya terpandang seorang anak gadis yang tangannya berada di dalam seluar mat motor yang sedang menekan-nekan minyak penuh ghairah. Astaghfirullah...Saya lihat naik seram dibuatnya. Remaja yang terlibat dengan pergaulan bebas - rosak akhlak - perbuatan tidak senonoh.         

Para ibu bapa yang budiman (terutama diri saya sendiri), lihat-lihat dan jenguk-jenguklah bagaimana akhlak anak-anak kita bila mereka di luar rumah. Ambil tahu dengan siapa mereka berkawan, elakkan anak-anak daripada bergaul bebas tanpa ada batas syariat. Cegahlah sebelum parah.   

Situasi 4.
Perjalanan dengan memandu kereta dalam keadaan hujan lebat makin mencabar. Kabus tebal bercampur hujan lebat menutup pemandangan cermin kereta. jika kejadian ini berlaku, saya akan memandu perlahan dan menjadi tempat yang sesuai untuk berhenti seketika. Rasanya memilih untuk berhenti dari terus memandu adalah jalan yang terbaik. 

Saya banyakan selawat dan ingat Allah. Darah yang berderau akan menjadi tenang. Bila hujan dah agak reda baru saya teruskan perjalanan dengan memandu penuh hati-hati.  

Situasi 5.       
Jalan ini paling banyak berlaku kemalangan, terutama ketika hujan atau selepas hujan. Kereta masuk parit. Kereta terbabas dekat selekoh. Kereta berlanggar sesama kereta atau motor. Hinggakan ada satu perjalanan itu saya mengira berlaku enam kemalangan sepanjang jalan tersebut. 

Ada lagi pengalaman yang ngeri daripada itu. Melihat manusia yang  telah mati di tengah jalan. Darah mengalir dibawah kepala. Mayat hanya ditutup dengan surat khbar sementara menunggu ambulan sampai. 

Menyedari perkara atau kemalangan yang berlaku, saya sungguh berhati-hati bila melalui jalan ini. Orang kata malang tidak berbau. Pada Allah jua kita memohon agar diberikan keselamatan dan jika ajal sampai biarlah mati dalam kebaikan dan sempat mengucap dua kalimah syahadah.    

Tiada ulasan: