Rabu, Jun 05, 2013

IKTIBAR ISRAK DAN MIKRAJ

Peringatan ini khusus untuk diri sendiri.
Terfikir saya akan iktibar dari peristiwa Israk dan Mikraj -27 Rejab 1434H, khususnya buat kaum wanita. Ingatlah semasa Rasulullah s.a.w dalam perjalanan ke langit,  dilihatkan kepada baginda penghuni neraka yang kebanyakannya adalah kaum wanita.   


Misalnya, ada wanita yang digantung rambut, di bawahnya pula terdapat api neraka yang sedang menyala-nyala kemerahan dan kepanasan. Ia hukuman kepada wanita yang tidak menunaikan perintah menutup aurat semasa di dunia. 

Ada pula wanita yang dikerat lidahnya berkali-kali kerana suka melakukan perbuatan gunjing gunjirak (mengumpat). Lidahnya sentiasa ada untuk dikerat atau digunting. Astaghfirullah...tidak dapat dibayangkan bagaimanakah azabnya dan hukuman bagi orang-orang yang melakukan dosa tanpa sempat bertaubat.  

Justeru berhati-hatilah dalam menjaga aurat dan lidah kita. Semuanya akan ditanya di akhirat nanti tanpa ada pengecualian atau boleh sorok-sorok lagi. 


  
Semasa Israk dan Mikraj, ingatlah kita betapa anugerah solat yang sangat istimewa itu. Lima puluh waktu telah menjadi lima waktu sahaja. Itu pun kita masih kelam kabut untuk mengerjakannya. Dan terlebih malang ada yang tidak menunaikannya langsung. 

Tunggulah ia akan ditanya oleh Allah di akhirat esok. Kita tidak akan dapat lari dengan setiap apa yang telah kita lakukan di dunia. Justeru hati-hati dengan kehidupan hari ini.    

Sedikit renungan yang dapat dikutip - jaga solat, jaga aurat dan jagalah lidahmu agar tidak mendapat siksaan di akhirat nanti. Sebab dirimu tidak akan mampu untuk menanggung siksa api neraka.  
    

Tiada ulasan: