Isnin, Mei 20, 2013

PERIUK KUALI

Waa...topik yang cukup menarik untuk saya menulisnya di sini. Seorang surirumah tangga memang tidak dapat dipisahkan dengan periuk kuali. Ibarat irama dan lagu. Jika dipisahkan akan nampak pincangnya. 

Saya akui saya bukanlah seorang yang pandai atau handal dalam bab hal masak memasak ni. Saya masih teringat lagi kali pertama saya memasak nasi, sewaktu saya mula-mula mendirikan rumahtangga. Bila menyedari kelemahan diri, saya mula belajar memasak. Masak apa-apa yang patut untuk saya dan suami. 

Hari ke hari saya semakin mahir memasak dan menjadi seronok. Paling seronok memasak ketika perut merasa lapar dan bahan-bahan yang hendak dimasak semuanya lengkap. Alhamdulillah, kini usia perkahwinan kami telah menjangkau 21 tahun. Tahun hadapan sudah ke angka 22 tahun pula. In shaa Allah - dengan izin Allah. Hingga sekarang setakat untuk menghidang kepada suami dan anak-anak, tiada masalah lagi. Alhamdulillah, saya panjatkan berbanyak kesyukuran kepada Allah.    

Bila saya menjadi seorang surirumah tangga sepenuh masa, saya bebas untuk mengatur masa dalam kehidupan seharian. Waktu menulis, membaca, menghantar, menjemput suami dari pejabat, memasak dan sebagainya, suka hati saya sahaja. Namun begitu, saya agak berdisplin juga dalam menjaga masa...(ehm...puji diri nampak) tidak...saya perlu menjaga masa jika ingin berjaya dalam kehidupan ini. 

Semasa saya masih remaja lagi, saya sudah bercita-cita untuk tidak mahu bekerja di bawah orang atau terikat di mana-mana pihak. Saya mahu bekerja sendiri dan bebas dalam mengatur masa. Kini ia menjadi kenyataan.     

Kadang-kadang tersenyum kembali bila mengenang waktu saya menjadi kelam kabut. Waktu anak-anak masih kecil. Pagi petang sibuk menghantar mereka ke sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Sekejap saya kelam kabut di dapur memegang kuali, periuk, sudip untuk menyediakan makanan sekeluarga. Sekejap saya memegang pen, buku dan laptop untuk menyiapkan kerja-kerja penulisan. 

Sekejap lagi saya sudah memegang setereng kereta memandu ke sekolah untuk menjemput anak-anak. Masya Allah...benar-benar menjadi seorang isteri dan ibu yang kental jiwanya. Tetapi itu masih terlalu sedikit jika dibandingkan dengan kesusahan hidup anak Rasulullah s.a.w yang bernama Siti Fatimah Az Zahra. 

Tiada ulasan: