Setiap manusia Allah kurniakan umur yang tidak sama. Ada yang Allah panggil ketika masih kecil dan muda lagi. Ada yang Allah panjangkan usia hingga ke peringkat nyanyuk. Soal nyawa, ia adalah urusan Allah. Bila kematian menjemput tiada siapa yang dapat menahannya. Kita tidak tahu berapa lama masa atau umur yang Allah pinjamkan kepada kita.
Namun begitu ada petanda yang Allah berikan untuk manusia menginsafi dirinya. Bila rambut sudah mula sikit-sikit bertukar menjadi warna putih. Ia bukan kilaun emas lagi tetapi paling layak dipanggil kilauan uban. Di waktu rambut telah beruban, dan masih belum berubah dan masih terlena dengan kehidupan yang penuh dengan tipu daya, sesungguhnya dia termasuk orang yang merugi.
Firman Allah;
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).
(Surah al-Ahqaaf : 15)
Bila sudah menjangkau umur 40 tahun, hitunglah diri kita sendiri. Waktu-waktu kita sepatutnya sudah kembali dalam menginsafi diri. Melakukan amal soleh dan memberikan contoh yang baik kepada anak-anak, menantu, cucu dan cicit. Masa masih ada lagi untuk bertaubat atas kesalahan dan kesilapan masa muda-muda dahulu. Pintu taubat sentiasa terbuka kepada mereka yang ingin kembali kepada Allah. Itu pun bagi mereka yang mahu berfikir.
Firman Allah;
"Dan apakah Kami tidak memanjangkan umur mu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan." (Surah al-Fathir : 3)
Alangkah ruginya, jika umur sudah melewati angka 40 tahun ke atas tetapi masih terkinja-kinja menari di atas pentas mengalahkan orang muda, maka soalan yang layak dilontarkan apakah jadahnya jadi begitu?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan