Jumaat, Februari 22, 2013

SALAM JUMAAT

Assalamualaikum, 
Pembaca yang dikasihi, 
Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan keluarga baginda. Syukur ke hadrat Allah, pada pagi hari jumaat yang penuh berkat ini, Allah mengizinkan saya untuk memulakan bicara. Harapan saya moga bicara ini bukan sesuatu yang diawang-awang tetapi dapat diamalkan dalam kehidupan. Kehidupan yang disuluh dengan syariat Allah dan menuju jalan-jalan ketakwaan. 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para imam dan ajk Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala kerana telah melakukan solat hajat akan keselamatan jemaah yang akan berangkat mengerjkan umrah pada 01 - 14 Mac ini. Rasa sangat terharu bila jemaah yang hadir pada malam jumaat itu mendoakan mereka yang pergi mendapat umrah yang makbullah - yang diterima oleh Allah.

Saya yang merupakan salah seorang jemaah yang akan berangkat merasa sangat berbesar hati dan doa yang dihadapkan kepada Allah secara berjemaah itu, moga diperkenankan Allah. Namun di sudut ada rasa satu getaran yang sukar diungkapkan. 

Teringat semasa menghadiri kursus umrah, Ustaz Muhammad berpesan di akhir ceramahnya mengatakan berapa juta manusia yang telah pergi menunaikan haji atau umrah, tetapi sejauh mana kesan yang dapat dilihat selepas melakukan ibadah tersebut. Usah berbangga diri tetapi lihatlah sejauh mana perubahan akhlak kita. Adakalanya masjid walaupun dibina cantik dan besar tetapi jemaah yang datang bersolat masih dalam bilangan yang sedikit.         

Ia peringatan juga buat diri saya. Usah berbangga jika telah melakukan umrah berkali-kali, namun apakah ibadah yang dilakukan itu dapat membaiki diri menjadi lebih baik dari semalam. Renungan buat diri! 

Ya Allah, pimpinlah hati ini agar membuat sesuatu biar hanya kerana yang satu - Allah. Agar segalanya diterima dan bukan dilakukan ada sesuatu di sebaliknya. Apa sahaja niat yang di hati  hanya Allah yang tahu. Cuba miliki hati yang benar-benar ingin mencari jalan-jalan keredaan Allah, pasti ia memerlukan mujahadah yang panjang.  

Melawan segala bisikan nafsu dan syaitan yang datang bertalu-talu dan tidak diundang. Namun ingatlah janji Allah - Allah beserta dengan orang-orang yang melakukan kebaikan dan mereka yang ikhlas. Carilah keikhlasan dalam dirimu sendiri - mereka yang mencari pasti menemuinya.   

Tidak juga dilupakan kepada mereka (sesiapa sahaja) yang telah memberikan segala sumbangan tidak kira apa sahaja (sokongan moral, wang,  material lain  dan sebagainya) saya mengucapkan ribuan terima kasih. Saya tidak tahu bagaimana untuk membalas budi baik sahabat-sahabat, saudara mara dan jemaah masjid sekalian. Apa yang dapat saya lakukan ialah berdoa moga segala kebaikan yang dihulurkan hanya Allah yang akan memberi ganjaran dan membalasnya dengan yang lebih baik lagi. 

Kesempatan yang ada ini (sebelum saya menunaikan umrah) saya ingin memohon maaf di atas apa sahaja kesalahan atau kesilapan yang telah saya lakukan selama ini. Kesalahan yang saya lakukan sama ada di sedari ataupun tidak. Harap sahabat-sahabat, saudara mara dan para pembaca sudi memaafkan saya.  

Salam pagi jumaat yang penuh berkat, 
Zuhriah Mohamad Juoi. 

Tiada ulasan: