Rabu, Disember 19, 2012

JANJI YANG PASTI.

Di malam yang sepi itu, saya dikejutkan oleh suara jeritan jiran depan rumah. Laungannya yang kuat telah mengejutkan jiran-jiran yang lain. Semua jiran yang berhampiran terbangun dari tidur yang nyenyak. Masing-masing ingin mengetahui apa sebenarnya yang terjadi. 

Saya sangkakan ada orang kena histeria atau suami isteri yang bergaduh, kerana selepas itu diiringi dengan suara orang perempuan menangis agak kuat. Setelah saya selidik cerita yang sebenar ialah ada salah seorang saudaranya baru disahkan meninggal dunia di Hospital Selayang. Orang yang meninggal dunia itu ialah jiran saya yang betul-betul tinggal di hadapan rumah. 

Sementara menunggu ketibaan jenazah dari hospital, orang sudah mula datang berziarah. Jenazah sampai sahaja,  ramailah kaum keluarga yang datang dan membaca tahlil dan yasin, tidak putus hinggalah ke paginya. Jenazah dibawa ke masjid untuk dimandikan, dikafan, disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan. 

Bila semua urusan jenazah selesai, saya berkesempatan menemui isteri arwah. Sedih juga ketika itu, saya melihat dia sedang membelek-belek baju-baju arwah si suami. Katanya ingin disedekahkan kepada saudara mara yang ada. Tanpa dipinta dia berkata kepada saya; 

"Suami saya seorang yang baik, selama saya berkahwin dengannya, dia tidak pernah meninggikan suara. Apa tah lagi untuk memukul saya, jauh sekali." 

"Dia meninggal pun dengan tiba-tiba sahaja. Pukul 1.30 malam itu dia kejutkan saya. Katanya dia sakit perut. Dan meminta saya menepuk-nepuk belakang punggungnya sambil dia meniarap. Lepas itu suaranya langsung tiada dan terus senyap."

"Saya terus mengejutkan saudara yang lain dan membawanya ke hospital. Di dalam perjalanan ke hospital pun dia hanya senyap sahaja dan bila doktor membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan dia telah meninggal dunia."

Begitulah si isteri meluahkan rasa ingatan kepada suaminya dan menceritakan bagaimana suaminya meninggal dunia. Saya menjadi akur dan sangat insaf. Terkedu seketika...begitu mudah suaminya meninggal dunia. Tanpa sakit yang berpanjangan dan ia datang secara tiba-tiba

Ya...kehendak dan ketentuan Allah jua di atas takdir yang telah ditetapkan. Daripada Allah kita datang kepada Allah kita kembali. 

Firman Allah: 
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenarnya dan hanya kepada Kami-lah, kamu dikembalikan." (Surah Al anbiya'-35)  

Buat renungan diri sendiri, iktibar apa yang berlaku di sekeliling, memberi peringatan. Bersedialah selalu menghadapi kematian. Kita tidak tahu bila, tetapi ia sesuatu yang pasti untuk kita tempohi.      



       

Tiada ulasan: