Sabtu, November 03, 2012

MASJID AS SAADAH, BANDAR SULTAN SULAIMAN, PELABUHAN KLANG.

Alhamdulillah saya diberi kesempatan untuk menyampaikan  tazkirah bertajuk Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini di Masjid As Saadah dalam program Imarah Masjid. Anjuran Karya Bestari dan AJK Masjid As Saadah. 

Semasa saya menyampaikan tazkirah, sebenarnya saya mengingatkan diri sendiri. Genggamlah hidayah dan taufik yang Allah berikan hingga ke akhir hayat. Kembali menyegarkan diri dengan mencontohi semangat perjuangan Rasulullah s.a.w dan  para sahabat. Nikmat iman dan Islam yang Allah kurniakan, menjadikan kita manusia yang sentiasa bersyukur dan melahirkan rasa cinta kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. 

Seusai saya memberi tazkirah, ramai kaum muslimah yang datang bersalaman dan meminta keberkatan ilmu. Alangkah malunya saya ketika itu, ilmu saya secebis cuma. Namun, saya bersyukur kerana dapat berkongsi sesuatu yang baik dengan masyarakat. Tetapi ada yang lebih mengharukan saya.  

Seorang muslimah bertanya adakah saya ini adik kepada Pahrol Bin Mohamad Juoi kerana mempunyai binti yang sama. Saya hanya mengangguk, menandakan kebenaran itu. Wanita itu mengalirkan air mata dan dia berkata; 

"Pasti kami mempunyai ibu bapa yang hebat sebab nampak anak-anaknya hebat. Dan kirim salam saya kepada ke dua ibu bapa ya."

Saya cuma tersenyum dan mengembalikan segala pujian itu kepada Allah. Dan terima kasih yang tidak terkira kepada ibu bapa yang melahirkan saya. Terkenang kepada bapa, yang kurang sihat ketika ini (baru pulang ke kampung melihat keadaan bapa) dan kesetiaan ibu menjaga bapa. 

Mengakhiri catatan ini, saya berdoa; 
"Ya Allah kasihanilah ke dua ibu bapaku, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani dan memeliharaku semasa kecil." 
Ya...jasa keduanya belum mampu saya membalasnya sebaik mungkin. Hanya doa yang berterusan dan sekeping hati yang sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka. Di dunia dan di akhirat sana.  

Hamba yang dhaif, 
Zuhriah Mohamad Juoi.          

Tiada ulasan: